PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Hattan mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali mengguris perasaan seorang ibu sehingga insan paling mulia dalam kehidupan di dunia itu menitiskan air mata.
Katanya, kejayaan dan kekayaan dimiliki seseorang tidak akan mempunyai makna andai hilang reda dan selagi tidak meminta kemaafan daripada seorang ibu.
“Ibu kita ini jangan sekali pun kita menitikkan air matanya. Kalau terguris saja hati dia, tak ada untung dekat kita.
“Tak kisah macam mana tinggi pun kita berdiri di muka bumi, tetapi kita mengguriskan hati ibu, baik pergi minta ampun.
“Kalau jatuh ke bawah rasa sakit. Macam mana berjaya pun tak ada makna. Sebab apa? Dalam masa 24 jam semua kemewahan kita boleh hilang dalam sekelip mata,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.
Dalam perkongsian berunsur peringatan itu, Hattan yang juga bapa kepada seorang anak menegaskan sudah banyak melihat balasan Tuhan terhadap anak yang tidak mendapat restu ibuh.
“Banyak kali sudah terbukti benda macam ini berlaku. Percayalah cakap saya. Emak kita ini adalah segala-galanya untuk kita. Kena ingat itu,” katanya.
Luah penyanyi Memburu Rindu itu, perkara berkenaan bermain dalam fikiran kerana dek rindukan Allahyarham ibunya, terutama dalam suasana menyambut kehadiran Ramadan.
“Kalau bulan Ramadan ini mulalah saya teringat kepada emak saya. Rindu. Emak saya sudah tiada, jadi kami berkumpul adik-beradik.
“Baliklah kampung, ziarah dan bersihkan kubur. Daripada duduk melangut tak buat apa-apa,” katanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan pengikutnya bersetuju mengenai pandangan penyanyi itu dalam menjaga hati seorang emak.
“Betul tu Datuk, setuju. Tiba-tiba teringat emak saya,” kata seorang pengikutnya.
“Entahlah, ada yang tak tahu bersyukur. Kasiban kita yang tiada emak,” luah seorang lagi pengikut lain.
Ibu kepada penyanyi itu, Allahyarham Hindun Sani menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 di Hospital Kajang pada 7 Disember 2021. – KOSMO! ONLINE