SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan hanya dua daripada tiga beradik yang dipercayai menjadi mangsa dera bersekolah di Perlis.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semakan rekod menunjukkan dua beradik itu hadir ke sekolah, namun kes tersebut masih dalam siasatan.
Menurutnya, ketika ini kes tersebut masih dalam siasatan melibatkan pelbagai kementerian.
“Bagi pihak kami, saya baru dapat makluman mereka memang ada bersekolah di beberapa sekolah di sekitar Perlis. Kita akan pastikan perkembangan ketiga-tiga anak ini akan diambil perhatian sepenuhnya sebab mereka sudah diletakkan di institusi jagaan.
“Memandangkan (isu) ini dah jadi kes, siasatan lain, jadi kita serahkan kepada kebajikan (JKM) dan pihak kementerian lain sebelum kita ambil dan urus di peringkat pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan, hanya remaja yang berusia 16 dan 14 tahun yang bersekolah manakala seorang lagi yang berusia 13 tahun keciciran dalam pelajaran. – KOSMO! ONLINE