fbpx

Buruh maut, motosikal bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Renok Baru, Gua Musang hari ini. FOTO MEDIA SOSIAL

GUA MUSANG – Seorang buruh binaan maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah treler apabila tidak lepas memotong sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Renok Baru di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Khalid Mohamud, 47, yang menunggang motosikal Jenis Honda RS150 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan treler jenis Volvo.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke tempat kerjanya di kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Sungai Asap B.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, namun gagal sebelum bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

“Treler berkenaan telah membrek sejauh 17 meter dan cuba mengelak ke kanan sebelum motosikal mangsa merempuh bahagian tayar belakang kiri kenderaan itu.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI