PETALING JAYA – Dugaan baharu menimpa isteri Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada apabila anak perempuannya yang baru berusia enam tahun terpaksa menjalani rawatan psikiatri kanak-kanak.
Shuhada berkongsi keadaan terkini Humairah menerusi memuat naik foto di Instagram, selain memasukkan lokasi Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
“Doakan Humairah ye semua. Dia tengah cuba untuk menyesuaikan diri dalam semua perkara. Dia juga kuat seperti Aisyah RA (isteri Nabi Muhammad SAW),” katanya menerusi Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Shuhada seolah-olah mendakwa situasi kesihatan mental anaknya itu terjejas daripada kesan konflik rumah tangganya bersama suami.
Lebih menguatkan dakwaan, ibu kepada dua cahaya mata itu dilihat membalas komen seorang pengikut dalam ruangan komen dengan menyifatkan anak sulungnya berjumpa pakar psikiatri kerana melihat segala perkara yang berlaku.
“Humairah sedang melalui ujian Allah yang berat. Dia kuat dan paling terkesan sebab semua terjadi depan mata dia.
“Tidak perlu mengadu domba, dia seorang yang sangat cerdik,” balas Shuhada terhadap komen pengikut yang bertanyakan keadaan anaknya.
Rata-rata pengikut meluahkan rasa simpati dan mendoakan kanak-kanak terbabit kembali seperti sedia kala.
“Humairah kuat dan bijak seperti Saidatina Aisyah. Semoga dihilangkan segala kesakitan dan digantikan dengan kebahagiaan,” ujar peminat.
“Anak kecil yang kuat. Anak solehah ini kecil-kecil lagi sudah diuji dengan ujian besar. Pasti kelak akan jadi insan hebat yang cintakan Allah, Rasul dan al-Quran,” tulis seorang warganet.
Sebelum ini, Shuhada memaklumkan disaman wanita yang selama ini didakwa menjadi orang ketiga yang menjadi pengacau rumah tangganya.
Terdahulu, kes perceraian antaranya dengan Hafidz masih berlarutan apabila dia mendakwa suaminya itu pernah melafazkan cerai sebanyak dua kali sebelum ini.
Shuhada mendakwa suaminya pernah melafazkan talak menerusi mesej pesanan Whatsapp selain melalui panggilan telefon masing-masing pada 22 Januari dan 22 Februari 2023.
Perbicaraan kes lafaz cerai mereka yang berlangsung pada Selasa lalu ditangguhkan ke 9 Mei depan.
Hafidz juga berdepan dengan pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 2 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE