PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara semalam.
Menurut Anwar, beliau hadir ke majlis tersebut sejurus tiba dari Madinah, Arab Saudi.
Katanya, majlis tersebut turut dihadiri Jemaah Menteri bersama dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan selain duta dan diplomat asing.
“Majlis berbuka puasa tersebut turut disertai 15 penuntut dan seorang guru dari Pusat Tahfiz Darus Syabab Kepong.
“Alhamdulillah, semoga kita mendapat keberkahan Ramadhan dan diberi ganjaran yang sebaiknya oleh Allah SWT,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar selamat tiba di Jeddah Rahu lalu bagi memulakan lawatan rasmi sulung ke negara Asia Barat itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pesawat khas membawa beliau mendarat di Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia).
Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Ketibaan Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.
Ia juga adalah lawatan rasmi negara luar ASEAN yang pertama oleh Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE