JOHOR BAHRU – Tiada apa yang mampu dilakukan seorang penuntut kolej selain daripada berkorban melakukan transfusi darah demi memastikan bapanya yang kini menghidap leukemia dapat kembali sihat seperti biasa.
Muhammad Syamil Zainal, 20, yang merupakan penuntut jurusan Sijil Penyelenggaraan Elektrik di Kolej Kemahiran Johor berkata, prosedur melakukan transfusi itu akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, keputusan itu diambil untuk memastikan bapanya yang sudah berusia 60 tahun itu dapat menjalani kehidupan sihat seperti orang lain.
“Ayah disahkan menghidap leukemia sejak Oktober tahun lalu. Pihak hospital mahu ambil sampel daripada adik-beradik ayah, namun tidak boleh kerana mereka juga tidak berapa sihat.
“Jadi mereka perlu ambil sampel anak lelaki, dan ketika ini saya seorang yang berada di sisi ayah. Seorang abang berkhidmat sebagai askar dan sukar untuk dia balik, jadi mereka ambil sampel darah saya.
“Lagipun, pihak hospital maklumkan bahawa saya sesuai untuk buat transfusi darah dan saya setuju. Proses ini akan dibuat selepas hari raya di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Sagu 34, Taman Daya di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Syamil, dia sanggup melakukan apa sahaja dan berharap bapanya dapat kembali sihat dengan segera.
Sementara itu, Zainal Kamardin memberitahu, keadaan kesihatannya merosot sejak beberapa tahun lalu sebelum dia disahkan menghidap leukemia selepas pemeriksaan kesihatan menyeluruh oleh pihak hospital.
“Saya sendiri sudah tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang diberi pihak hospital,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas kilang dengan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.
Tambah Zainal, dia kini terpaksa bergantung kepada duit simpanan keluarga, manakala isterinya, Khamsah Yusof, 56, berniaga kuih secara kecil-kecilan.
Dalam pada itu, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat perhatian Kolej Kemahiran Johor yang hadir ke rumah pelajar berkenaan bagi menghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.
Pengurus Korporat dan Tugas-Tugas Khas Kolej Kemahiran, Zaid Zain berkata, pihak kolej amat prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga penuntutnya.
“Sehubungan itu, kita telah menyantuni keluarga ini dengan menyampaikan barangan keperluan asas sempena Ramadan, Kita juga menyampaikan sumbangan wang tunai daripada kakitangan kolej dan pihak swasta untuk membantu keluarga ini.
“Selain itu, Kolej Kemahiran Johor turut menyampaikan sumbangan serupa kepada dua lagi penuntut yang kematian ibu mereka baru-baru ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE