fbpx

Alumni MRSM sokong penubuhan MRSM berbayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) Malaysia menyokong cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan T20.

Presidennya, Mohd. Fadzli Yusof berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira semua faktor dan rasional secara terperinci yang bersandarkan statistik, kewangan, teknikal, pengalaman dan unjuran potensi.

“Disebalik cadangan itu, ia bukanlah satu idea tangkap muat semata-mata atau hanya atas desakan pihak dan golongan tertentu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Akta Mara 1966 membolehkan agensi tersebut memulakan perniagaan dengan maksud untuk menyokong mandat pembangunan modal insan dan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.

“Kami difahamkan bahawa operasi ‘MRSM berbayar’ ini akan dikendalikan oleh pihak Mara Corp yang akan mencari pembiayaan sendiri bagi membina dan mengurus selepas ianya siap dibina,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzli menekankan bahawa kewujudan MRSM berbayar ini tidak akan menggugat hak serta kedudukan golongan B40 seperti mana tujuan asal penubuhan MRSM yang memfokuskan membantu pelajar golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses pendidikan berkualiti.

“Paling penting untuk diutarakan ialah bahawa ‘MRSM berbayar’ ini tidak sesekali mengambil hak dan kedudukan anak-anak B40 yang diberikan keutamaan didalam mandat Mara.

“Ini adalah satu langkah besar bagi perkembangan model dan modul sistem pendidikan MRSM yang selama ini dinantikan oleh semua pihak termasuk ahli Ansara Malaysia sendiri, yang selama ini mengharapkan anak-anak mereka belajar di dalam sistem pendidikan MRSM.

“Ini juga membuktikan bahawa kejayaan sistem pendidikan MRSM seharusnya dimanfaatkan bukan hanya untuk sesetengah golongan sahaja, dan sudah tiba masanya sistem pendidikan MRSM yang cemerlang dan amat bernilai ini dikongsikan untuk semua,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI