fbpx

Yuna ‘yang dahulu’ kembali dengan Menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUNA hadir dengan single bahasa Melayu terbaharu selepas tujuh tahun.

LAMA berkelana di Amerika Syarikat (AS), Yuna akhirnya hadir dengan single berbahasa Melayu perdana setelah sekian tempoh agak panjang diberi judul Menanti.

Karya ciptaan sendiri bersama komposer bernama Kenneth Jordan Macartney tersebut membawa peminat ke satu fasa sewaktu dirinya berada di puncak persada seni tanah air, namun memilih untuk mengembangkan bakat ke AS.

Secara peribadi, individu di sebalik ulasan picisan ini merupakan antara jutaan pendengar yang membesar dengan lagu-lagu dendangan dan ciptaan anak kebangaan Malaysia itu.

Masih terngiang-ngiang bersulam memori yang menggigit sewaktu Yuna mula debut dalam industri muzik Malaysia dengan lagu-lagu seperti Dan Sebenarnya, Deeper Conversation, Coffee, Cinta Sempurna dan Terukir Di Bintang.

Yuna yang ‘dahulu’

Itu dahulu dan waktu bergulir, Yuna kian matang dengan naratif serta perjalanan seninya, namun masih tidak boleh menidakkan rasa hati bahawa sangat rindu dengan muzik adunannya suatu ketika dahulu.

Berbalik tentang kualiti lagu Menanti, penulis teruja sampai terlompat-lompat apabila Yuna atau nama sebenarnya bahawa Yunalis Mat Zara’ai, 37, kembali menulis muzik dalam bahasa Melayu dan akan ‘hadir’ dengan sesuatu yang ‘mega’ buat peminat tempatan tidak lama lagi.

Tentang projek ‘mega’ lokal, itu simpan dahulu dan biarlah waktu sahaja yang memberitahu apa akan dikerjakan Yuna hari demi hari.

MENANTI dicipta oleh Yuna dengan kerjasama bersama komposer Kenneth Jordan Macartney.

Secara peribadi, Menanti merupakan sebuah perkongsian balada yang sangat indah. Dari segi komposisi muzik dan nukilan lirik, karya tersebut mengingatkan betapa berbakatnya Yuna sebagai seorang pemuzik dan vokalis.

Dari satu sudut lain, lagu berkenaan mengubat kerinduan kuat terhadap puspita hati Malaysia yang seorang ini.

Ternyata, dia seorang genius dalam menzahirkan kata-kata, muzik ‘mahal’ dengan permainan emosi ke jiwa setiap pendengar. Dialah Yuna.

Masih berseni, rindu

Lebih dua dasawarsa menyinari seni muzik dengan banyak pencapaian dalam dan luar negara, Menanti juga boleh disifatkan sebagai ‘salam kenal kembali’ Yuna buat peminat di Malaysia.

Buat yang seusia dengan penulis atau lebih berusia, barangkali sudah biasa dengan Yuna.

Generasi Z barangkali ada yang tidak terlalu lazim dengan Yuna yang pernah menggoncang industri muzik tempatan sebelum membawa diri ke AS.

MENERUSI Menanti, Yuna seperti mengembalikan ingatan ramai peminat di Malaysia tentang siapa dirinya sebelum berkelana di AS.

Menanti memberi pesanan atau epitome tersendiri buat pendengar bahawa rasa rindu itu adalah satu perihal yang sukar untuk dibendung.

Apabila datang rindu, perasaan tersebut sukar pergi dan tidak salah merindukan seseorang yang tidak lagi berada di depan mata.

Bait lirik indah

“Bagai unggas menanti senja, bulan di langit,” demikian antara bait lirik dalam Menanti membuktikan bahawa kita punya ‘Oh bulan’ kesayangan ramai tidak pernah beredar pergi dan masih di sini menunggu masa untuk bertemu dengan umum.

Sebenarnya, masih belum terubat rindu dengan muzik Yuna kerana sudah pasti, ada banyak dalam katalog muziknya yang masih menanti untuk dikongsikan kepada para peminat.

Mungkin ini kedengaran agak sukar untuk direalisasikan, namun tidak mustahil.

Ramai sebenarnya yang sangat mendambakan kehadiran Yuna dengan album berbahasa Melayu penuh setelah lama mencuba nasib di negara Uncle Sam tersebut.

Yuna, terima kasih untuk Menanti dan mewakili orang lain, kami tak sabar menanti konsert anda di sini, di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI