fbpx

K2

Tuah patin 5.72 kg, Shahrizal raih RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azhan (empat dari kiri) bersama para pemenang hadiah utama PJ Joran 2023 yang diadakan di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hanya berumpankan cacing, seorang pemancing berjaya menaikkan seekor patin seberat 5.72 kilogram (kg) pada pukul 12.02 tengah hari ketika pertandingan memancing PJ Joran 2023.

Memasuki tahun kelima penganjuran, pertandingan itu diadakan di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Shahrizal Yusri, 45, dari Semenyih membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan piala Datuk Bandar Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) selepas menewaskan 700 peserta lain pada pertandingan tersebut.

Dia yang lebih dikenali sebagai Tok Dalam dalam kalangan rakan-rakan dan keluarga berkata, hadiah kemenangan itu akan dikongsi bersama keluarga dan sahabat yang sentiasa menyokong minatnya.

Shahrizal berkata, dengan menggunakan umpan cacing, dia berjaya menaikkan patin selepas bertarung selama 10 minit.

“Kemenangan ini hadir beberapa hari sebelum Ramadan tiba. Saya sangat bersyukur.

“Ini hadiah buat keluarga saya. Saya juga akan berkongsi kemenangan ini bersama kawan-kawan.

“Saya sudah lima tahun mengikuti pertandingan memancing anjuran MBPJ ini. Saya harap pertandingan PJ Joran ini dapat diteruskan lagi pada tahun depan.

“Pertandingan seperti ini dapat merapatkan lagi silaturahim sesama kaki pancing,” katanya.

Shahrizal menaikkan patin seberat 5.72 kg pada pertandingan PJ Joran 2023.

Naib juara pertandingan itu disandang oleh Nor Rizuan Mohd. Ariffin, 43, selepas mendaratkan patin seberat 1.97 kg. Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta wanita, Nadira Zabani, 34, selepas menaikkan tilapia seberat 660 gram dan membawa pulang RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Azhan Md. Amir.

Sebahagian daripada 700 peserta yang menyertai PJ Joran 2023 di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya.

Mohamad Azhan berkata, beliau berbangga dengan penyertaan peserta dari seluruh negara, selain kehadiran ahli keluarga kaki pancing yang memeriahkan PJ Joran pada tahun ini.

“Saya melahirkan rasa syukur kerana program yang memasuki tahun kelima penganjuran berjaya mencapai matlamatnya.

“Hasrat MBPJ adalah untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai destinasi riadah bersama keluarga, selain meningkatkan aktiviti pelancongan dan ekonomi penduduk setempat.

“Pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi ini kepada warga Petaling Jaya.

“Pertandingan memancing PJ Joran ini wajar diteruskan lagi di tasik-tasik lain di bawah MBPJ. Kami akan mengenal pasti tasik-tasik lain yang sesuai nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI