fbpx

Tidak wajar paksa murid sekolah rendah puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tengah) bermesra bersama kanak-kanak yang menghadiri majlis berbuka puasa dan perasmian program Kongsi Rezeki di Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal malam tadi. Gambar oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta sekolah rendah khususnya para guru untuk memantau murid mereka terutama Tahun Satu yang menjalani ibadah puasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan ketahanan dan kemampuan diri anak-anak adalah berbeza dan guru diminta untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya murid tidak mampu meneruskan ibadah rukun Islam ketiga itu.

“Kita kena ambil perhatian ada kanak-kanak tidak bersedia bukan kerana ekosistem (persekitaran) tidak sokong dia, tetapi mungkin dia ada masalah kesihatan, tidak bersedia lagi selain dikhuatiri badannya akan berlaku tak cukup air (dehidrasi) dan sebagainya.

“Sekolah kena ada pantauan dan jika guru lihat anak itu tak cukup air atau mengalami masalah kesihatan lain atau tidak bersedia untuk berpuasa, saya minta bincang dengan ibu bapa supaya ada proses pendidikan (berhubung ibadah puasa) yang boleh diambil.

“Ekosistem (persekitaran) itu penting, jadi kalau dia pergi sekolah dan ibu bapa kata kena puasa, tetapi di sekolah cikgu lihat dia tak larat, maka boleh bincang dengan ibu bapa,” katanya kepada ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan perasmian program Kongsi Rezeki di Universiti Sains Malaysia, di Nibong Tebal di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hantaran segelintir ibu bapa di Twitter yang meluahkan rasa terkilan terhadap sesetengah pihak pentadbiran sekolah yang memaksa anak-anak mereka untuk terus berpuasa meskipun tidak larat untuk melaksanakannya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memahami kesediaan anak-anak untuk melaksanakan ibadah puasa atau sebaliknya.

“Kewajipan berpuasa ini bermula dengan asuhan ibu bapa, bagaimana mereka nak memperkenalkan dan menganjurkan dan mendidik anak anak mereka berpuasa dan ia mengikut keadaan anak masing-masing.

“Ada sesetengah kanak-kanak sudah bersedia lebih awal, daripada darjah dan dua dah boleh berpuasa dan ada kanak-kanak yang belum bersedia maka ia bergantung kepada tahap kanak kanak tersebut.

“Oleh sebab itu, anjuran berpuasa ini mesti kita lihat kepada kemampuan kanak-kanak dan asuhan ibu bapa, dan juga guru-guru serta ekosistem (persekitaran) untuk menyokong mereka berpuasa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI