fbpx

Skuad B-22 negara ke final Piala Merlion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najmudin Akmal meraikan jaringan yang dilakukan untuk membantu pasukan menewaskan Kemboja 4-2 sebentar tadi. - Foto ihsan FAM

PETALING JAYA – Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bakal berentap dengan Hong Kong di pentas final Piala Merlion selepas berjaya menewaskan Kemboja 4-2 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura petang tadi.

Pada aksi tersebut, skuad muda Harimau Malaya kendalian E. Elavarasan mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih gol awal menerusi penyerang Kuala Lumpur City, Haqimi Azim pada minit ke-13.

Pasukan negara kian selesa apabila kini giliran pemain pertahanan, V. Ruventhiran menambah derita Kemboja dengan menggandakan kelebihan pada minit ke-30.

Namun, pasukan Kemboja menghidupkan peluang selepas merapatkan kedudukan menjadi 1-2 dengan meraih gol pertama menerusi ledakan Lim Pisoth sebelum tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kemboja berjaya menyamakan kedudukan selepas Sieng Chantea menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-50.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan kembali mendahului hasil jaringan pemain berdarah kacukan, Fergus Tierney pada minit ke-63.

Pemain gantian, Najmudin Akmal mengesahkan kemenangan buat skuad negara apabila meledak gol keempat berselang 10 minit kemudian dengan keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan Hong Kong turut mara ke peringkat final yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini selepas menewaskan tuan rumah, Singapura 1-0 di venue yang sama sebentar tadi.

Skuad B-22 kebangsaan kini dalam fasa persiapan untum memantapkan pasukan sebelum mengharungi temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja yang bermula pada penghujung April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI