KLUANG – Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh di sini oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka manusia yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.
Katanya, susulan itu satu pasukan pegawai dan anggota dihantar untuk melakukan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat berada kira-kira 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.
“Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi pada badan si mati,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.
“Kes diletakkan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital,”katanya.-KOSMO! ONLINE.