fbpx

Penternak rugi RM15,000, enam ekor lembu dibaham harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Peralla, Tanah Merah membantu mengangkat seekor lembu yang mati selepas dipercayai dibaham harimau belang semalam. FOTO IHSAN PENDUDUK

TANAH MERAH – Seorang penternak mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas enam daripada 13 ekor lembu peliharaannya mati dibaham harimau belang dalam kejadian di sebuah kebun getah di Kampung Peralla di sini semalam.

Wan Md. Seri Wan Ismail, 60, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira 9.30 pagi semasa tiba di kebun getah apabila melihat pagar kandang lembunya rosak.

Menurutnya, dia pada awalnya hanya mengesyaki kandang lembunya itu diceroboh oleh orang lain sebelum cuba untuk membaiki pagar tersebut.

“Selepas membaiki pagar, saya terus masuk ke dalam kandang sebelum melihat seekor lembu berada dalam senyap selain ada kesan cakar pada badannya. Saya pelik kerana lembu-lembu yang dipelihara ini kebiasaannya sentiasa aktif.

“Saya terus melakukan pemeriksaan di kandang sebelum mendapati dua ekor lembu sudah mati manakala empat lagi berada keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Wan Md. Seri memberitahu, dua ekor lembu yang sudah mati itu berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah selain ada kesan pada bahagian tengkuk seperti diserang harimau belang.

Menurutnya, dia tidak menyangka lembu-lembunya menjadi sasaran harimau kerana sering pergi ke kebun getah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya setiap hari untuk memberi makan dan minum kepada haiwan tersebut.

“Empat ekor lembu lagi tidak dapat diselamatkan dan ia telah disembelih sebelum daging-dagingnya diagihkan secara percuma kepada jiran manakala separuh lagi dijual pada harga murah.

“Saya juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana bimbang serangan sama berulang di kandang lembu,” katanya.

Menurut Wan Md. Seri, dia sudah memindahkan tujuh ekor lembu yang masih ada ke kandang lain sementara perangkap di kawasan kebun getah itu selesai dipasang.

Katanya, dia memasang lampu, unggun api dan memasang radio dengan kuat di kandang sementara berdekatan dengan rumah penduduk bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Pihak Perhilitan memaklumkan bahawa kemungkinan sekumpulan tiga ekor harimau belang yang masuk ke dalam kandang lembu saya untuk mencari makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI