fbpx

Pelanggan dah jangka juadah bazar naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai membeli juadah di Bazar Ramadan di padang Dewan Kompleks Serbaguna MDGM, Gua Musang kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

PETALING JAYA – Pelanggan setia yang kerap ‘memburu’ menu-menu di bazar Ramadan seperti nasi ayam, minuman balang, kuih-muih, serta variasi menu lain terpaksa mengeluarkan kos lebih sehingga RM2 untuk Ramadan kali ini.

Di Ipoh, tinjauan Kosmo! di beberapa bazar Ramadan semalam mendapati, peningkatan harga makanan melibatkan beberapa item popular seperti nasi ayam, nasi tomato bahkan minuman dalam balang juga tidak terke­cuali.

Sebagai contoh, nasi ayam, nasi tomato serta nasi daging yang sebelum ini berharga antara RM4.50 hingga RM5 dijual segelintir peniaga pada harga RM6.

Air di dalam balang yang sebelum ini dijual pada harga RM2 bagi cawan kecil kini dijual antara RM3 dan RM4, jika dalam bungkusan dijual pada harga RM5.

Kuih-muih pula tanpa mengira jenis seperti karipap masih kekal 50 sen sebiji, biarpun ada peniaga yang menjualnya lebih murah iaitu RM2 bagi lima biji kuih.

Seorang pengunjung, Rau­dhah Mohd. Salim, 28, berkata, dia te­lah menjangkakan peningkatan harga makanan tersebut, namun tidaklah terlalu ketara sehingga membebankan pengguna.

“Orang ramai sudah jangkakan perkara ini. Jadi apabila kami nampak harga makanan sedikit tinggi daripada kebiasaan, ia tidaklah terlalu mengejutkan.

“Namun terdapat banyak gerai menjual variasi makanan serupa jadi mereka mempunyai pilihan untuk melakukan pembelian sama ada di gerai yang murah ataupun mahal,” katanya.

Di Gua Musang, seorang pe­ngunjung Bazar Ramadan di padang Dewan Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, Nor Hidayah Mat Ali, 39, berkata, harga gulai kawah daging pada tahun lalu dijual pada harga RM10 dan harganya meningkat kepada RM12.

Air buah di dalam balang yang dijual para peniaga di Bazar Ramadan Taman Ria Jaya, Sungai Petani kelmarin didapati turut mengalami kenaikan harga.

“Meskipun harga makanan meningkat, saya melihat ada juga peniaga yang mengekalkan harga lama seperti kuih-muih masih lagi dijual pada harga antara RM2 dan RM3 sebungkus,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Alif Ibrahim, 41, berkata, dia agak terkesan dengan harga yang sedikit meningkat di bazar Ramadan tahun ini.

“Sebagai pembeli, kita kena bijak dan perlu pandai memilih harga jualan yang dilihat berbaloi.

“Saya terpaksa berkira-kira untuk membeli juadah berbuka puasa yang harganya agak mahal kerana mempunyai bilangan anak yang ramai,” katanya.

Di Sungai Petani, seorang pengunjung, Muhammad Ubai­dullah Abdullah, 45, berkata, dia terkejut apabila mendapati martabak ayam atau daging dijual pada harga RM4 sekeping berbanding RM3.50, tahun lalu.

“Sebagai peminat tetap martabak kami tetap membelinya tambahan lagi apabila peniaga buat muka sedih sambil berkata nak buat macam mana bekalan mahal,” katanya.

Selain itu, Zalilah Zailan, 46, berkata, dia mendapati harga ayam bakar atau ayam panggang naik RM1 seketul berbanding tahun lalu.

“Ayam bakar dijual antara RM9 seketul dan kita dapati saiznya turut kecil berbanding jualan hari biasa.

“Manakala ikan keli bakar dan ikan kembung yang disumbat kelapa turut juga dijual dengan harga kira-kira RM9 seekor sedangkan pada hari biasa ia boleh dibeli antara RM7 ke RM8 seekor mengikut saiz,” ujarnya.

Di George Town, seorang pekerja kilang, Nadiah Azman, 38, berkata, dia belum terlintas untuk berkunjung ke bazar Rama­dan ketika ini kerana terpaksa mengikat perut dengan baki gaji yang ada kurang RM200.

Akuinya, dia sanggup menyediakan juadah berbuka sendiri dengan hanya satu lauk untuk dinikmati bersama suami dan tiga anaknya berusia 12, 10 dan enam tahun.

“Mujur anak-anak tidak cerewet dan memahami situasi ekonomi ibu bapa mereka. Memang fikir panjang sekiranya hendak ke bazar Ramadan buat masa ini. Sudah tentu akan habis dibelanja lebih RM50 hanya untuk tiga juadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI