fbpx

Maut angkara kecuaian orang lain, waris boleh tuntut sivil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kegagalan meletak tanda amaran di lorong kecemasan ketika kereta rosak berisiko tinggi dirempuh kenderaan lain. – GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Tuntutan sivil boleh dibuat waris si mati terhadap mana-mana pemilik kende­raan rosak atau berhenti di tepi jalan yang gagal meletakkan papan atau kon amaran.

Peguam Khairul Naim Rafidi berkata, ini berdasarkan prinsip asas dalam undang-undang bahawa setiap pengguna jalan raya mempunyai kewajipan untuk berjaga-jaga (duty of care).

“Kalau ikut situasi iaitu ken­deraan yang rosak atau berhenti di tepi jalan tanpa meletakkan sebarang kon, itu bermaksud ada kesalahan kerana cuai dan berbahaya.

“Dalam keadaan kereta rosak (di lorong kecemasan), pengguna perlu ambil tanggungjawab untuk melakukan segala tindakan munasabah bagi memastikan keadaan bahaya dapat dielakkan,” katanya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun, ujarnya, hendak menyatakan siapa salah atau tidak adalah bergantung kepada keadaan selain pembahagian ­nisbah atau peratusan kesalahan akan dilakukan di mahkamah.

“Terdapat dalam keputusan kes mengenai penunggang motosikal maut selepas melanggar lori yang diparkir di bahu jalan.

Berita berkaitan: Penunggang motosikal tempah maut guna lorong kecemasan

“Apa yang berlaku adalah mahkamah mendapati memang pemandu lori gagal mematuhi prosedur keselamatan (letak kon atau papan amaran).

“Cuma mahkamah menyatakan waktu itu jalan gelap dan ada keterangan menyatakan motosikal ditunggang sangat laju.

“Jadi, mahkamah kemudiannya menetapkan situasi 70 peratus kesalahan kepada pemandu lori dan bakinya 30 peratus kepada penunggang itu, namun liabi­litinya lebih berat atau tinggi kepada pemandu lori itu,” jelasnya.

Tambahnya, perkiraan jumlah tuntutan terdapat dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) dan lazimnya antara faktor yang diambil kira ialah umur si mati, baru kahwin atau tidak berkahwin dan jumlah pemberian si mati kepada keluarga.

Katanya, keluarga si mati boleh menuntut tuntutan untuk kedukacitaan (bereavement) sehingga RM30,000 berbanding RM10,000 sebelum ini selepas pindaan undang-undang pada tahun 2018 terhadap Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Beliau berkata, tuntutan ganti rugi perlu dibuat dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah Akta Had Masa 1953 (Akta 254) dan Akta Undang-Undang Sivil.

“Jika tidak melibatkan kematian adalah enam tahun dari tarikh kemalangan. Bagi kematian dalam tempoh tiga tahun dengan kes boleh dibuat dan dituntut melalui wakil simati/pentadbir harta pusaka simati.

“Jika melibatkan pihak kerajaan pula adalah tiga tahun dari tarikh kemalangan,” ujarnya.

Katanya, pesalah yang cuai dalam meletakkan papan tanda amaran juga boleh dikenakan mengikut dua seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI