BERDASARKAN kepada statistik terkini terdapat 6,837 buah masjid dan 17,493 buah surau yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
Pastinya ketika menyambut Ramadan ini, setiap masjid dan surau tersebut yang dibarisi oleh ahli jawatankuasa masing-masing menyusun pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan lagi bulan mulia ini.
Dalam memperkatakan mengenai hal ehwal masjid, suatu yang menarik perhatian penulis ialah mengenai dana dan cara sesebuah jawatankuasa masjid itu membelanjakan wang yang dimiliki.
Selain bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan melalui pihak berkuasa agama negeri, masjid-masjid juga banyak bergantung kepada sumbangan kewangan daripada ahli kariah, jemaah yang hadir dan pihak-pihak lain khususnya syarikat-syarikat swasta.
Ada masjid sangat beruntung kerana mampu meraih kutipan mingguan RM30,000 hingga RM50,000 menjadikan kutipan bulanan boleh mencecah RM200,000.
Malah masjid ini yang biasanya terletak di kawasan bandar dan pinggir bandar atau di kawasan perumahan elit memiliki jawatankuasa pengurusan dalam kalangan profesional, bertaraf Datuk, Tan Sri atau bergelar profesor, Ir, Dr. dan sebagainya.
Sementara itu sebilangan masjid lagi hanya mampu mengaut kutipan sumbangan antara RM150 hingga RM200 seminggu dan kutipan bulanan sekitar RM800.
Masjid-masjid ini biasanya terletak di kawasan pedalaman, luar bandar dan kampung-kampung terpencil dengan jemaah atau kariah pula cuma dalam kalangan petani, nelayan dan anak-anak muda yang enggan berhijrah ke kota.
Baru-baru ini, sebuah masjid yang penulis singgah mengumumkan mengenai keperluan dana untuk berbuka puasa dan moreh sebanyak RM200 sehari sempena Ramadan ini.
Jumlah itu menyebabkan penulis agak terkedu kerana sebilangan masjid di pinggir ibu negara membuka ‘pintu pahala’ Ramadan dengan sumbangan RM3,000 sehari khusus untuk aktiviti Ramadan ini.
Ini bermakna jumlah sumbangan kariah selama dua hari masjid bandar sudah mampu memenuhi aktiviti sebulan bagi masjid di kampung tersebut!
Penulis mengutarakan di sini tidaklah bermaksud membandingkan mengenai perbelanjaan pihak masjid tetapi wajar adanya sikap saling mengambil tahu antara satu masjid dengan masjid yang lain khususnya yang perlukan sokongan dari segi kewangan dan ilmu pengurusan.
Alangkah indahnya jika masjid dan surau bertaraf kayangan, T20 atau kelas yang setaraf dengannya menjadikan satu aktiviti baharu iaitu ambil cakna terhadap masjid-masjid daif dan kurang mampu ini agar para jemaah mereka turut mendapat manfaat baik dari segi fizikal mahupun pengisian rohani.
Penulis yakin, jika aktiviti masjid dapat merentasi sempadan daerah dan negeri ini dilaksanakan, jemaah bandar dan kota raya tidak kedekut untuk melipatgandakan jumlah tabung mingguan kerana mereka tahu wang itu akan sampai juga ke kampung-kampung yang mungkin tanah kelahiran mereka!