BATU GAJAH – Kerajaan memberi jaminan isu pengurangan tenaga kerja tidak akan timbul sekiranya berlaku lebih banyak penguraian monopoli dalam negara.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, keperluan tenaga kerja di Malaysia masih tinggi.
“Masalah yang saya lihat ada ramai penganggur terlalu memilih kerja. Itu yang menjadi masalah. Jadi, kalau kita nak lihat tentang kekosongan yang wujud memang banyak.
“Proses ini (penguraian monopoli) saya rasa tidak akan memberi apa-apa kesan buruk kepada pekerjaan yang ada di negara kita. Tak ada masalah,” katanya ketika ditanya kesan kerajaan menguraikan lebih banyak monopoli berikutan keputusan kerajaan tidak melanjutkan konsesi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).
Sementara itu, Sivakumar berkata, dalam sektor pengambilan pekerja asing, kerajaan memandang serius untuk memecahkan monopoli supaya tidak ada mana-mana pihak cuba mengaut keuntungan yang tinggi daripada keperluan dihadapi oleh industri masa ini.
“Kita semua tahu banyak sektor yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai dan kita juga tahu bahawa kerajaan telah membuat syarat kelonggaran baru-baru ini di mana kita memberi kelulusan hanya dalam tempoh tiga hari.
“Bagaimanapun, kami merasakan jumlah masuk pekerja asing sudah memadai dan sekarang memang kita dah hentikan untuk memberi kelulusan buat sementara waktu. Kita tidak mahu akan wujud satu keadaan di mana lebihan pekerja asing di negara kita,” katanya.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan satu persaingan yang sihat kerana ia adalah penting supaya dengan adanya persaingan, kualiti barangan dan juga perkhidmatan bertambah baik serta berlaku penurunan kos.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak untuk monopoli mana-mana perniagaan kecuali dalam keadaan-keadaan di mana memang tak boleh elakkan monopoli itu.
“Kalau kita biarkan untuk mana-mana pihak terus bermonopoli, maka yang akhirnya menjadi rugi adalah rakyat. Sebab yang monopoli itu selalunya akan mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara pada masa ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan. – KOSMO! ONLINE