PETALING JAYA- Ibu kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail tidak berhenti memberi sokongan padu terhadap menantunya, pelakon Puteri Sarah Liyana.
Biarpun ada diminta suaminya Datuk Yusof Haslam agar berhenti mengeluarkan kenyataan tentang kemelut anak menantunya, terbaharu, Patimah menyatakan kesediaan melihat perdamaian Syamsul dan Sarah namun ada syarat yang harus dipatuhi anak lelakinya itu.
Patimah bagaimanapun tidak memperincikan syarat tersebut.
Dalam waktu sama, Patimah juga menyokong sekiranya Puteri Sarah tetap dengan keputusan ingin bercerai dan meneruskan kehidupan bersama dua cahaya mata.
Kami mohon Puteri Sarah berdamai dengan bersyarat, tetapi dia berhak membuat keputusan sendiri untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak.
Sementara itu, menerusi hantaran di Instagram Stories, Patimah memahami dengan penderitaan yang ditanggung oleh pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selama lima tahun.
Tambah Patimah lagi, pelakon drama Andai Itu Takdirnya tetap akan menjadi menantu kesayangannya dunia akhirat.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah terus berpanjangan apabila pengarah itu enggan melafazkan cerai pada 7 Mac lalu atas alasan yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang.
Susulan itu, Mahkamah Rendah Syariah memerintahkan Syamsul dan Puteri Sarah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) namun pasangan ini gagal menjumpai jalan penyelesaian di pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) pada 24 Mac lalu.
Pada 21 Mac, Syamsul telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Sehari kemudian, Puteri Sarah pula hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan permohonan hadanah pada 22 Mac.
Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak tahun 2020, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.
Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.
Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.
Puteri Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam dan Sumayyah. – KOSMO! ONLINE