LISBON – Perlawanan sulung Roberto Martinez sebagai Ketua Jurulatih Portugal berakhir dengan positif selepas dia mengemudi pasukan itu menang 4-0 ke atas Liechtenstein pada aksi Kumpulan J kelayakan Euro 2024 awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jose Alvalade menyaksikan penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo meledak dua gol, manakala Joao Cancelo dan Bernardo Silva masing-masing menjaringkan satu gol.
Martinez yang pernah membimbing Belgium sebelum ini berkata, beliau gembira dengan aksi keseluruhan ditampilkan barisan pemainnya meskipun Liechtenstein bukanlah lawan sebenar mereka.
“Bagi saya, ini langkah paling penting untuk Portugal selepas apa yang kami lakukan dalam latihan. Walaupun Liechtenstein menghadirkan bahaya kepada kami, namun pemain-pemain menanganinya dengan baik.
“Secara jujur, kami agak kecewa dan bergelut pada awal separuh masa pertama. Bagaimanapun, ia bertambah baik selepas pemain-pemain mula faham apa yang perlu dilakukan dan kami berjaya dapatkan tiga mata,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu juga mengakui, beliau berdepan dilema untuk menyusun barisan serangan memandangkan pasukan pelawat menggunakan pendekatan bermain secara bertahan.
“Apa yang paling sukar adalah pasukan lawan meletakkan ramai pemain di hadapan gol, jadi kami perlu sabar dan tunggu peluang terbaik. Saya lega kerana pemain-pemain Portugal dapat mencari jalan bagi menembusi pertahanan Liechtenstein,” ujar Martinez. – AGENSI