NAPLES – Ketua Jurulatih Itali, Roberto Mancini percaya mereka sepatutnya mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri ketika tewas 1-2 kepada England pada aksi Kumpulan C kelayakan Euro 2024 di Stadium Diego Armando Maradona awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Itali ketinggalan 0-2 kepada The Three Lions menerusi jaringan Harry Kane dan Declan Rice sebelum penyerang kelahiran Argentina, Mateo Retegui menjaringkan gol saguhati buat The Azzurri.
Walaupun sedar ia satu perlawanan sukar, namun Mancini menganggap dua gol yang dilepaskan adalah berpunca daripada kesilapan sendiri kerana gagal merantai pergerakan pemain-pemain England.
“Kami semua tahu pertemuan dengan England akan menjadi satu perlawanan sukar, namun dua gol mereka berpunca daripada sepakan penjuru. Itali juga menguasai separuh masa kedua, jadi paling kurang kami sepatutnya dapatkan satu mata.
“Keputusan ini memang mengecewakan, tetapi perjalanan masih panjang. Kami hanya bangkit di separuh masa kedua, sekiranya kami tampilkan aksi sama di separuh masa pertama, mungkin ia cerita berbeza,” katanya.
Pada masa sama, bekas pengendali Manchester City itu juga memuji aksi ditampilkan Retegui meskipun pertemuan dengan England merupakan penampilan pertamanya bersama juara Piala Dunia empat kali itu.
“Dia agak bergelut di separuh masa pertama kerana perlu berdepan barisan pertahanan England yang memiliki kelebihan fizikal. Retegui masih muda, jadi dia ada banyak masa untuk berkembang,” ujar Mancini.
–AGENSI