TIDAK dinafikan Malaysia masih memiliki peluang untuk merangkul pingat emas pertama Olimpik dalam sejarah menjelang temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bermula 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan pemain-pemain negara selain kebangkitan pasukan-pasukan lain, cabaran Malaysia untuk meraih emas sulung itu nampaknya berliku.
Berdasarkan pemerhatian penulis, peningkatan mendadak yang ditunjukkan negara-negara lain seperti China, Indonesia dan Korea Selatan dijangka menjadi halangan utama buat Malaysia.
Penguasaan pemain dari tiga negara tersebut dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) musim ini agak ketara.
Sebagai contoh, kita dapat lihat situasi itu pada kejohanan Seluruh England (All England) di Birmingham baru-baru ini apabila perseorangan lelaki dikuasai China dengan dua pemain mereka, Li Shi Feng dan Shi Yuqi yang bertemu di pentas akhir.
Sementara itu, Indonesia pula gah dalam acara beregu lelaki apabila Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Bagi Malaysia, sandaran untuk merangkul emas pertama Olimpik diletakkan di bahu perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, namun mereka gagal menyinar kali ini,
Bekas perseorangan lelaki No. 1 dunia, Muhammad Roslin Hashim percaya, kebangkitan pemain-pemain negara lain ketika adalah sebagai tanda amaran kepada Malaysia dalam usaha memburu pingat emas di Paris tahun depan.
“Kalau kita tengok senario badminton ketika ini, kita boleh nampak negara-negara lain mula pamer kebangkitan. Paling ketara adalah China apabila mereka seolah-olah mahu kembali menguasai sukan raket tersebut.
“Di All England kita semua boleh lihat mereka memiliki empat wakil dalam perlawanan akhir dengan Shi Feng menjadi juara perseorangan lelaki pada penampilan sulung di kejohanan itu. Saya anggap itu sebagai amaran kepada Malaysia,” katanya.
Justeru katanya, pemain-pemain negara tidak ada alasan selain bekerja keras serta memberikan sepenuh tumpuan ketika latihan serta kejohanan yang disertai bagi mengimbangi kebangkitan negara-negara lain.
Bagi mendapatkan tonik menjelang Olimpik Paris nanti, Malaysia khususnya pemain-pemain prospek wajib memenangi beberapa kejuaraan, sekali gus menghadirkan gerun buat pesaing lain.
Sementara itu, Roslin yang juga salah seorang ahli Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) menegaskan, pemain-pemain negara sebenarnya sudah kesuntukan masa untuk melakukan persediaan menjelang Olimpik meskipun masih ada tempoh lebih setahun.
“Sekiranya ada sikap seperti menganggap Olimpik masih jauh dan saingan baru bermula, itu sebenarnya tidak boleh. Memang ada setahun lebih lagi tetapi dalam badminton, ia sebenarnya tempoh yang sangat singkat untuk buat persiapan.
“Pemain-pemain kita juga sepatutnya bukan lagi berada di tahap untuk melakukan kejutan kerana mereka berada di ranking cukup tinggi. Sasaran mereka adalah untuk meraih gelaran kerana itu standard sebenar Malaysia,” ujarnya.
Penulis berpendapat pemain-pemain negara harus segera mendapatkan rentak terbaik serta aksi konsisten bagi memastikan kita tidak ketinggalan dengan kebangkitan dipamerkan negara-negara seperti China, Indonesia dan Korea Selatan.