SEPANG-Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan pakej haji berpatutan selain terjamin kepada bakal jemaah menerusi penganjuran Karnival Pengelola Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Hotel Movenpick di sini.
Pengarahnya, Ida Riswana Idris berkata, penganjuran karnival selama dua hari itu juga membolehkan bakal jemaah mengetahui tentang pengelola haji serta pakej ditawarkan.
“Penglibatan dalam karnival ini juga disifatkan sebagai platform terbaik untuk kembangkan jenama Andalusia sekali gus membolehkan jemaah mengetahui mengenai pengelola haji secara terperinci.
“Ia juga sebagai memberi saranan kepada bakal jemaah supaya memilih 23 pengelola yang telah dilantik Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan perkara tidak diingini termasuk tersadai di lapangan terbang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ida berkata, pakej haji ditawarkan tahun ini juga dilihat berdepan sedikit kenaikan berbanding tahun sebelumnya ekoran peningkatan beberapa kos termasuk tiket kapal terbang.
“Tahun ini harga pakej haji meningkat berbanding sebelumnya memandangkan kos naik haji ditentukan oleh penawaran tiket kapal terbang, perumahan di Arafah serta Mina dan kos hotel.
“Bagaimanapun, kami masih menawarkan pakej berpatutan untuk bakal jemaah di mana ia bermula RM45,990 untuk bilik empat ke lima orang sehingga RM88,990 untuk bilik berdua dengan jarak 50 meter ke masjid,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.