LONDON – Petinju profesional dari Britain, Tyson Fury menyalahkan Oleksandr Usyk selepas petinju heavyweight Ukraine itu menarik diri daripada bertarung dengannya pada aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley pada 29 April depan.
Sebagai rekod, penganjur sebelum ini giat melakukan perbincangan dengan kedua-dua petinju untuk mengatur pertarungan epik dengan beberapa tali pinggang kejuaraan dunia seperti WBC, WBO, WBA dan IBF menjadi rebutan.
Difahamkan, selepas berbincang, pihak Usyk tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan khususnya pembahagian wang tunai sekali gus enggan lagi berunding untuk mengatur pertarungan menentang Fury.
Situasi tersebut menyaksikan Fury cukup berang dengan melabel Usyk sebagai pengecut kerana enggan bertarung dengannya di atas gelanggang profesional.
“Anda (Usyk) bukanlah petinju sejati apabila enggan menyahut cabaran daripada ‘Gypsy King’. Saya telah bersetuju, tetapi anda seorang pengecut dan lebih berminat untuk tarik diri,” katanya.
Sementara itu, ejen peribadi Usyk, Alex Krassyuk mengakui antara punca utama adalah keputusan penganjur untuk melebihkan bayaran tunai kepada Fury dengan pembahagian 70/30 yang dianggap tidak adil oleh anak buahnya.
“Usyk tidak bersetuju dengan pembahagian wang tunai yang dianggap tidak setimpal kerana dia juga memiliki reputasi hebat setanding Fury. Jika dia tidak berlaku adil, Usyk lebih rela menarik diri dan tidak bertarung,” katanya. – AGENSI