KUALA LUMPUR – Orang ramai mula menarik nafas lega selepas tiada kenaikan harga barangan yang begitu ketara di pasaran ketika bulan Ramadan ini.
Tinjauan Kosmo! di Pasar Chow Kit di sini mendapati, rata-rata peniaga masih mengekalkan harga barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur sayuran.
Ini sekaligus dapat membantu umat Islam di ibu kota terus mempelbagaikan menu bagi sahur dan berbuka puasa.
Selain itu juga, diharapkan tiada tekanan harga makanan oleh peniaga kepada pembeli terutama di bazar Ramadan pada musim puasa ini.
Peniaga daging dan ayam Ahmad Farid Fauzi, 37, berkata, dia masih mengekalkan harga barangan seperti ayam dan daging ketika ini berikutan masih memperolehi bekalan bahan mentah itu daripada pembekal ketika ini.
Ujarnya, harga daging import masih dijual sekitar RM22 bagi sekilogram (kg), manakala bagi ayam standart pula pada harga RM9.40 per kg.
“Kita nak letak harga mahal pun susah, nanti tiada orang datang nak beli, lagi pun kita tidak putus bekalan. Jadi, apa yang kita boleh buat kekalkan sahaja harga ketika ini sama seperti sebelum bulan puasa.
Di Ipoh, Perak, pengguna berharap tiada sebarang kenaikan harga barangan berlaku sepanjang sebulan umat Islam berpuasa sehinggalah Hari Raya Aidilfitri bulan hadapan.
Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Hamdan Razali, 39, berkata, harga barangan yang kekal membolehkan mereka berbelanja mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, jika harga barangan meningkat, ia menambah beban mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Biarlah harga barang makanan seperti ayam kekal dijual RM9.40 sekilogram.
“Jika naik, sudah tentulah harga makanan turut meningkat sama, menyukarkan orang ramai untuk membeli juadah di bazar Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, di George Town, Pulau Pinang, tinjauan di beberapa pasar awam mendapati, harga bagi sayur-sayuran seperti bayam, bendi, tomato dan sawi masih kekal sama di bawah RM10 sekilogram.
Seorang seorang peniaga sayur, Izam Abd Hamid, 42, memberitahu, harga bagi kesemua jenis sayur-sayuran yang dipasarkan ketika ini didapati masih kekal sama dan tiada berlaku kenaikan buat masa ini.
“Buat masa ini, harga sayur-sayuran didapati tidak naik dan tidak turun berbanding Februari lalu naik terlalu mendadak sehingga memberi kepada jumlah pelanggan yang datang.
“Ketika ini, harga semasa bagi bendi dijual RM10 sekilogram, Bayam RM5, tomato RM8, manakala sawi pula sekitar RM3 sekilogram berbanding sebelum ini RM4 hingga RM6,” ujarnya.