fbpx

Purata harga ayam standard meningkat RM10.33 sekilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, selain itu, purata harga bahan mentah itu di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM9.76 sekilogram berbanding RM8.94 sekilogram pada Februari 2022 di mana melebihi paras harga kawalan ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40.

“Selain itu, peningkatan pada subkumpulan itu turut didorong oleh peningkatan daging babi (31.8 peratus) dan itik (10.5 peratus).

“Secara bulanan, daging segar meningkat sebanyak 0.5 peratus disumbangkan oleh peningkatan daging babi yang mencatatkan kenaikan 2.4 peratus, diikuti daging ayam dan itik di mana masing-masing meningkat sebanyak 0.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan akhbar berkenaan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, peningkatan dua digit daging babi yang berterusan sejak 2022 adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan susulan Demam Babi Afrika yang melanda beberapa negeri.

“Bagaimanapun, daging lembu mencatatkan penurunan sebanyak negatif 0.1 peratus,” katanya.

Pada masa sama, katanya, hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 di beberapa negeri telah mendorong kepada kenaikan harga makanan terutamanya sayur-sayuran.

“Kesan daripada perubahan monsun itu, inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran telah mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus berbanding 1 peratus pada Januari 2023.

“Secara bulanan, sayur-sayuran merekodkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding 0.7 peratus pada Januari 2023.

“Antara sayur-sayuran mencatatkan kenaikan tahun ke tahun adalah timun (24.8 peratus) dengan purata harga RM5.20 sekilogram serta bendi (19 peratus) dengan purata harga RM11.66 sekilogram,” katanya.

Jelasnya, kenaikan juga dicatatkan bagi tomato iaitu peningkatan sebanyak 17.1 peratus dengan purata harga RM8.73 sekilogram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI