GEORGE TOWN – Prestasi gerakan koperasi di negeri ini berada di tahap memberangsangkan dengan jumlah perolehan pendapatan koperasi Pulau Pinang tahun 2022 mencapai RM283 juta berbanding RM261 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, mengikut data terkini terdapat 795 buah koperasi di negeri ini dengan keanggotaan yang dicatatkan melebihi 191,000 daripada 1.7 juta penduduk secara keseluruhannya.
“Ia menunjukkan peningkatan yang ketara terhadap kesedaran berkoperasi dalam kalangan masyarakat di negeri ini kerana koperasi adalah satu pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawan masyarakat.
“Tambahan pula unjuran yang dibuat Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang terhadap prestasi gerakan koperasi negeri ini sangat memberangsangkan, di mana sejumlah RM283 juta perolehan pendapatan dicatatkan koperasi Pulau Pinang pada 2022 berbanding RM261 juta pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah transformasi memperkasa koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan, kerajaan negeri juga telah meluluskan Bantuan Penang 2030 Coop Grand berjumlah RM450,000 bagi tujuan merancakkan lagi ekonomi melalui gerakan koperasi.
Katanya, bantuan Penang 2030 Coop Grant ini telah dilancarkan pada Februari 2021 berjumlah RM300,000 dan pada tahun 2022 jumlah yang sama diberikan.
“Sebanyak 74 buah koperasi telah menerima manfaat hasil daripada inisiatif Bantuan Penang 2030 Coop Grant ini.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah geran ini kepada RM450,000 berdasarkan penglibatan aktif koperasi dalam membantu komuniti serta rekod prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh koperasi yang telah menerima manfaat sebelum ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE