fbpx

Nasyrah berani hasil produk sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASYRAH menunjukkan sebahagian produk makanan di bawah jenama Chemilan.

SETELAH lebih sedekad menjual produk-produk milik orang lain, Nasyrah Zainuddin mengambil langkah berani untuk membangunkan jenamanya sendiri.

Perjalanan untuk wanita berusia 31 tahun tersebut membangunkan produk dinamakan sebagai Chemilan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Hal ini kerana ia dilancarkan pada Januari 2020 iaitu dua bulan sebelum negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sehingga menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pada ketika itu, dia baru melibatkan diri dalam industri makanan dan minuman (F&B) dengan menghasilkan beberapa produk makanan.

Menurut Nasyrah, sewaktu pandemik Covid-19 mula melanda dunia, timbul kerisauan di dalam hati kerana dia baru sahaja memulakan perniagaan produknya sendiri.

“Terdetik dalam hati kecil saya akan ada sesuatu yang akan berlaku apabila mengetahui virus Covid-19 mula menyerang banyak negara.

“Pada ketika itu, saya baru sahaja melabur sekitar RM100,000 untuk pembungkusan produk agar ia kelihatan lebih menarik.

“Saya tahu ada perkara yang saya tidak boleh kawal ketika itu terutamanya apabila Covid-19 mula menyerang negara.

“Apa yang saya lakukan ketika itu adalah menyediakan beberapa pelan tindakan boleh diambil,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Tambahannya, dia juga telah berjumpa dengan pembekal bagi memastikan perniagaannya tidak terjejas akibat pandemik Covid-19.

Nasyrah tidak menduga bahawa Covid-19 telah membuka pintu rezeki buatnya apabila jualan produk naik mendadak.

PRODUK makanan yang dikeluarkan oleh Nasyrah cukup laris sewaktu pandemik Covid-19.

Ketika itu, dia hanya menggunakan saluran online bagi menjual produknya memandangkan PKP di seluruh negara sehingga menyukarkan pergerakan.

Dia turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat lain bagi melaksanakan program infak kepada pihak hospital serta petugas barisan hadapan.

“Apa yang boleh saya katakan, sewaktu pandemik Covid-19, perniagaan berkembang dengan baik sekali.

“Namun setelah memasuki fasa endemik, jualan saya mula menurun disebabkan kita semua sudah boleh bergerak bebas,” jelas Nasyrah.

Namun begitu, dia telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan jualan produknya kekal konsisten dan baik setelah fasa endemik.

“Kini, saya menggunakan beberapa saluran perniagaan selain online seperti meletakkan produk di kedai-kedai terpilih di beberapa lokasi.

“Selain itu, saya mengambil pelajar tercicir dan tidak menamatkan persekolahan untuk bekerja.

“Mereka ini akan pergi mencari pelanggan dan menjualnya secara fizikal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nasyrah berkata, dia telah terlibat dalam bidang perniagaan sejak berusia 18 tahun.

Menurutnya, sebelum ini, dia terlibat dalam pelbagai perniagaan merangkumi fesyen, makanan tambahan, kosmetik dan lain-lain lagi.

“Sebelum ini saya hanya menjual produk orang bagi mendapatkan pengalaman.

“Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk membangunkan produk sendiri dengan melibatkan diri dalam industri F&B,” katanya.

Dalam pada itu, Nasyrah menitipkan pesan kepada mereka di luar sana yang ingin terlibat dalam bidang perniagaan supaya bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Menurutnya, jangan terlalu mengikut orang dan terus mengambil pinjaman besar untuk memulakan perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI