KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan tiga peniaga lain dalam urusan jual beli kenderaan melibatkan deposit RM30,000 tahun lalu.
Chuan Kian Voon, 46, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Nadia Othman dan Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki dan dua wanita berusia di antara 30 dan 55 tahun dengan memperdayakan mereka dalam urusan jual beli kenderaan jenis Mercedes GLA 250, Porche Macan dan Honda Civic dengan deposit berjumlah RM30,200.
Tertuduh dengan curangnya mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang ke beberapa akaun bank milik pihak lain, termasuk secara tunai yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pasaraya di Cheras, pada bulan Jun dan 12 Disember 2022.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Kian Voon diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Atiqah menetapkan kes disebut pada 9 Mei manakala Nadia dan Noorelynna Hanim menetapkan kes di hadapan mereka disebut pada 16 Mei depan. – KOSMO! ONLINE