fbpx

Jumlah maut akibat tibi meningkat tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Batuk yang berpanjangan antara tanda-tanda seseorang itu berhadapan dengan masalah tibi. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kematian tibi di Malaysia pada tahun lalu meningkat 12 peratus iaitu sebanyak 2,572 kematian di mana ia mencatatkan kadar kematian 7.9 bagi setiap 100,000 penduduk.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 284 kematian berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 bagi setiap 100,000 penduduk, namun kadar insiden dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah berbanding sasaran itu.

“Bagi Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk).

“Ia dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17 peratus) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2021,” katanya menerusi kenyataan akhbar Sempena Hari Tibi Sedunia di sini tadi.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi berpanjangan perlu menjalani pemeriksaan awal.

Menurutnya, antara gejala awal termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

“Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan dan individu yang dijangkiti tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan yang telah diberikan.

“Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI