SHAH ALAM – Selepas sekian lama, impian pengacara Awal Ashaari untuk membuka sebuah kedai kopi sendiri akhirnya terlaksana apatah lagi hasrat tersebut berkaitan dengan kisah penyatuan cinta bersama isterinya, Scha Alyahya.
Kongsi Awal, 41, dia dan Scha sememangnya penggemar kopi dan sewaktu masih bergelar pasangan kekasih, mereka selalu meluangkan masa bertemu di sebuah kedai kopi di Bangsar.
“Saya dan Scha memang penggemar kopi. Jika mahu throwback kisah percintaan, kami selalu dating (temu janji) di sebuah kedai di Bangsar.
“Malah setiap kali melancong ke luar negara, perkara pertama yang kami cari adalah kedai kopi kerana mahu rasa kelainan di setiap lokasi.
“Hari ini, saya sangat terharu kerana impian yang sudah lama tunggu akhirnya menjadi kenyataan dan segala proses berjalan dengan pantas,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama kedai kopi miliknya, The Great Coffee Club, Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini.
Sementara itu bercakap mengenai lokasi pembukaan kedai kopi tersebut, Awal berkata, Shah Alam sesuai dengan target pasaran dan selain kawasan yang agak strategik.
“Saya memilih Shah Alam kerana lokasinya yang dekat dengan beberapa buah universiti.
“Kalau kita lihat tidak banyak kafe atau kedai kopi yang seumpama The Great Coffee Club. Jadi, sebagai permulaan saya memilih Shah Alam.
“Kedai kopi ini juga sesuai untuk pelajar-pelajar datang bersantai. Disebabkan itulah rekaannya sangat dekat dengan jiwa muda,” ujarnya.
Bagi Awal, pelancaran yang dibuat sehari sebelum berpuasa (Rabu lalu) kerana mahu memperkenalkan tempat lepak santai kepada pelanggan yang ingin moreh selepas solat tarawih.
“Kami akan buka sepanjang Ramadan juga dan sebab saya tergesa-gesa membuat pelancaran satu hari sebelum berpuasa kerana mahu target orang datang moreh di sini.
“Selepas orang menghabiskan solat tarawih pasti mereka mahu cari tempat lepak jadi kami cuba tutup lambat pada bulan Ramadan ini,” jelas pelakon dan pengacara itu.
Selain kopi, istimewanya di The Great Coffee Club mempunyai air coklat yang rasanya hanya boleh didapati di Perancis, London dan Shah Alam.
The Great Coffee Club akan beroperasi sepanjang Ramadan bermula pukul empat petang sehingga 12 tengah malam di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam. – KOSMO! ONLINE