fbpx

Harimau Malaya cipta kejutan tewaskan Turkmenistan 1-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHYAR RASHID diraikan oleh rakan sepasukan apabila berjaya menjaringkan gol tunggal pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Harimau Malaya sekali lagi mencipta kejutan menewaskan Turkmenistan 1-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain sayap, Akhyar Rashid sudah cukup memastikan kemenangan buat skuad Kim Pan Gon, sekali gus menafikan hasrat Karakum Warrior untuk melunaskan dendam ketika tewas 1-3 pada aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Beraksi di hadapan 5,104 penonton, pasukan kendalian Mergen Orazov hampir mengejutkan Harimau Malaya seawal minit kedua setelah rembatan deras Resul Hojayev sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang tuan rumah.

Pasukan kendalian Pan Gon yang dilihat lambat panas mula mengatur gerakan hasil kombinasi gandingan Paulo Josue dan Endrick Dos Santos di bahagian tengah.

Pada minit ke-23, Josue menguji keampuhan benteng Turkmenistan dengan menanduk bola hasil sepakan sudut Faisal Halim namun ketangkasan penjaga gol, Rasul Charyyev pantas melayangkan badan menepis bola keluar.

Gawang pasukan pelawat akhirnya bolos juga menerusi serangan yang diilhamkan Dos Santos yang merampas bola daripada pihak lawan lalu dihantar kepada Corbin Ong sebelum mengumpan kepada Akhyar melepasi kawalan pertahanan dan melepaskan rembatan deras melepasi jangkauan Charryyev.

Tersentak dengan jaringan itu, Turkmenistan melancarkan serangan balas pada minit ke-31 dan berpeluang mencipta jaringan namun tandukan Resul Hojayez sedikit tersasar dari pintu gol Harimau Malaya.

Malaysia akan berdepan dengan Hong Kong pada satu lagi aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Selesa ini.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI