fbpx

Harap cuaca panas bagi harumanis berbuah lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE WA membalut buah harumanis yang telah mencapai ukuran tertentu ketika ditemui di Kangar semalam.

KANGAR – Rata-rata pengusaha harumanis di sini berharap agar cuaca panas terik ketika ini berterusan kerana ia memberi kesan baik kepada bunga itu yang ketika ini memasuki pusi­ngan kedua dan ketiga.

Menurut seorang pengusaha, Ramzi Che Man, 48, berkata, cuaca panas terik yang sedang me­landa seluruh negeri ini membuatkan bunga harumanis berkembang dengan baik.

“Harumanis ini memerlukan cuaca panas terik untuk bunga berkembang seterusnya membentuk putik mangga yang lekat pada tangkai bunga untuk terus membesar dan matang.

“Sekiranya hujan turun ketika bunga berkembang, hampir semua bunga akan bertukar hitam dan gugur ke tanah seperti yang terjadi kepada kebanyakan pe­ngusaha hujung Disember dan awal Januari lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Harumanis adalah tanaman popular yang menjadi punca pendapatan penduduk Perlis dan dikatakan ia cukup menjadi disebabkan cuaca panas terik terutama pada musim monsun timur laut.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) kelmarin mengeluarkan laporan status El Nino Southern Oscillation yang me­nyatakan dalam tempoh 15 Mac hingga 20 Mac lalu, suhu ha­rian tertinggi dicatatkan di negara ini adalah di Chuping dengan bacaan 36.7 darjah Celcius.

Seorang lagi pengusaha harumanis, Che Wa Izar, 35, berkata, dalam tempoh sehari dua ini, hujan mula turun di beberapa kawasan sekitar negeri ini.

Katanya, dia berharap cuaca semakin baik kerana bimbang kejadian di mana majoriti bunga harumanis gugur ditimpa hujan pada awal Januari lalu berulang.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, pengelua­ran tahun ini dijangka menurun berbanding tahun lalu.

“Pengeluaran harumanis tahun ini dijangka menurun sehingga 40 peratus di­sebabkan keadaan cuaca tidak menentu walaupun tanaman itu berbunga secara berperingkat.

“Buah ini dijangka masuk ke pasaran pada minggu terakhir Ramadan, harganya di pasaran runcit dijangka tidak banyak berubah sekitar RM25 hingga RM45 bergantung kepada gred dan kaedah pemasaran se­perti jualan online yang memerlukan kos tambahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI