PETALING JAYA – Wanita hamil perlu berbuka puasa, apabila bayi dalam kandungan kurang bergerak atau mula berasa kontraksi yang sakit secara terus-menerus.
Menurut Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Dr. Muhammad Izzat berkata, walaupun ibu berasa sihat, penting untuk (mereka) sentiasa peka dengan perubahan kandungan masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Berbuka puasa segera kemudian pantau pergerakan bayi dalam kandungan, kalau masih kurang dan sakit kontraksi yang berterusan, terus jumpa doktor,” kata Dr. Izzat.
Tambah beliau, wanita hamil yang tinggi kandungan gula dalam darah atau tidak terkawal juga digalakkan untuk berbuka puasa.
Hal ini sama juga kepada ibu yang sedang menyusukan anak dan demam.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata bersetuju dengan apa yang dikongsikan oleh Dr. Izzat.
“Saya tak puasa sebab risau keselamatan bayi, saya makan lambat pun rasa macam nak mati,” komen Shaa.
“Tahun lepas langsung tak boleh berpuasa. Tak makan je ‘baby’ tak aktif. Maka tak puasalah sebulan,” menurut Keyy.
Segala keberkatan Ramadan tidak bermakna jika si ibu tetap degil meneruskan berpuasa sekiranya membawa kemudaratan kepada diri dan bayi dalam kandungan. Jangan paksa diri, islam itu mudah, nasihat Dr. Izzat. – KOSMO! ONLINE