fbpx

Warna rambut selepas umrah, ini jawapan Awal Ashaari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWAL Ashaari tidak melatah dikecam netizen gara-gara 'mewarnakan' rambutnya selepas pulang dari menunaikan umrah. Foto - SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Selebriti versatil, Awal Ashaari menyifatkan netizen sebenarnya tidak boleh menerima perkara baharu terutama membabitkan sesuatu yang di luar kebiasaan bagi masyarakat Melayu.

Hal tersebut disuarakan Awal apabila sesetengah pihak mempersoalkan penampilannya apabila dia mewarnakan rambutnya menjadi ‘putih’ dengan menggunakan teknik peluntur sedangkan dia baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

“Saya rasa orang kita suka merumitkan mengenai menunaikan haji atau umrah hingga kadang-kadang tercetus persepsi menakutkan untuk melakukan kebaikan di Tanah Suci.

“Sebagai anak seni, bukan kata balik umrah boleh terus insaf dan berubah, cuma saya dapat bawa balik pengalaman selain pengajaran berguna.

“Lagipun ini bukan warnakan rambut, saya gunakan sejenis bahan peluntur tetapi jika mahu berlawan (beri kenyataan) pun orang tidak akan faham,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis pelancaran kedai kopi miliknya, The Great Coffee Club di sini, semalam.

Tambah pelakon dan pengacara itu, walaupun baru sahaja menunaikan umrah, dia tidak boleh mengubah gayanya secara drastik memandangkan dia sangat meminati bidang fesyen.

“Dari segi stail dan penampilan tidak mungkin saya akan berkopiah 24 jam kerana saya masih berminat dalam fesyen. Tambahan pula kerja saya masih berkaitan dengan dunia fesyen.

“Saya hanya buat apa yang menggembirakan diri sendiri tetapi pada masa sama saya tetap menjaga hubungan dengan Allah.

“Orang kita tidak boleh menerima sesuatu perubahan drastik dan saya cuba faham perkara tersebut serta tidak menidakkan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awal yang baru sahaja pulang dari Mekah dan Madinah bersama isterinya, Scha Alyahya pada Februari lalu banyak mengubah cara pemikirannya sejak menunaikan ibadah umrah.

Katanya lagi, perkara berkenaan turut dipersetujui Scha sendiri sebagai isteri yang sentiasa berada di sampingnya dan memahami situasi didepaninya.

“Umrah kali ini mengajar saya lebih dekat dengan Tuhan tetapi orang tidak nampak perkara begitu kerana fokus terhadap perubahan luaran saya.

“Hakikatnya sejak balik dari umrah, perbuatan dan pemikiran saya lebih terarah kepada hubungan dengan Allah. Isteri pun cakap saya banyak berubah,” jelas bapa kepada dua anak itu.

Begitupun, selebriti berusia 42 tahun itu tidak cepat melatah dengan kata-kata netizen yang mempersoalkan penampilannya.

“Kadang-kadang ada perkara yang tidak boleh dikongsikan kerana benda tersebut peribadi. Nanti orang cakap menunjuk pula.

“Bagi saya tidak mengapalah, saya tidak kisah dengan persepsi orang kerana saya rasa lebih dekat (dengan Allah) dan tenang,” tuturnya.

Awal menunaikan umrah bersama isterinya, Scha Alyahya pada awal Februari lalu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah, dia dikecam kerana mengubah warna rambutnya yang dilabel netizen tidak seiring dengan pemergiannya ke Tanah Suci sekali gus dianggap melanggar hukum agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI