fbpx

TNB, PDRM serbu lebih 1,600 kecurian arus elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baharin (kiri), Saifuddin (tengah) dan Acryl (kanan) ketika penyerahan kenderaan untuk kegunaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis, di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menggempur kegiatan mencuri arus elektrik dengan lebih 1,600 serbuan dalam tempoh dua tahun di seluruh Semenanjung bagi membendung kerugian besar kepada industri tenaga dan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din berkata, kerjasama strategik TNB dan PDRM itu telah memberikan impak amat positif dalam usaha membanteras perbuatan khianat tersebut, khususnya melibatkan premis perlombongan mata wang kripto, bitcoin dan pengguna industri.

Katanya, TNB meningkatkan lagi kemudahan logistik pasukan PDRM dalam Op Letrik itu dengan menyumbang enam buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan 25 buah kontena bagi keperluan penyimpanan perkakasan rampasan.

“TNB dan PDRM telah melaksanakan operasi bersepadu bagi membendung kegiatan mencuri arus elektrik ini sejak November 2020.

“Sehingga Februari 2023, Op Letrik ini telah melaksanakan lebih 1,600 siri serbuan sekaligus mengekang kerugian bernilai lebih RM278.49 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Baharin menyerahkan kenderaan untuk kegunaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis, di Kuala Lumpur yang turut disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bahrain berharap sumbangan berkenaan dapat melancarkan operasi Op Letrik bagi menggempur kegiatan mengambil bekalan elektrik secara curang, sekali gus mengelak kerugian kepada pengguna termasuk risiko bekalan kerap terputus.

“Terima kasih kepada PDRM di atas sokongan dan kerjasama dalam membantu TNB menjejak jenayah curi arus elektrik ini di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Op Letrik ini turut memberi impak positif kepada operasi TNB dan sekaligus membantu kami memberi tumpuan kepada usaha memacu peralihan tenaga negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI