fbpx

Sekadar sejarah Sarawak ‘cerminan’ orang putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jonathan Rhys Meyers memainkan peranan Raja Putih Pertama Sarawak, Sir James Brooke.

MENONTON filem arahan sutradara Hollywood, Michael Haussman berjudul Rajah atau tajuk bahasa Inggerisnya, Edge of the World, sejujurnya satu dimensi baharu untuk mengenal sejarah Sarawak.

Tiada masalah dari segi penceritaan cuma sebenarnya, banyak perihal yang perlu diteliti kalau ingin menterjemahkan karya bernuansa sejarah.

Siapa yang benar-benar patut diangkat dari segi terjemahan karakter, di mana dan apa semua yang selayaknya. Jika itu tidak berlaku, akan membuatkan sebilangan audiens berasakan sesebuah naskhah itu tidak wajar menjadi pilihan tontonan di panggung wayang.

Tentang Rajah, tiada banyak yang boleh diperkatakan atau dibanggakan memandang filem dibikin dari perspektif Barat atau Hollywood. Dari segi terjemahan karakter, mi­salnya, banyak perkara dari sudut ter­babit yang membuatkan penulis secara peribadi menggelengkan kepala. Benar, kadang-kadang filem berunsur sejarah tidak perlu terlalu mengikut ‘skrip’ atau buku sejarah.

Sentimen

Sungguhpun begitu, jika kisah yang be­tul-betul ‘dekat’ dengan sesetengah komuniti atau kaum, perihal sekadar ter­babit akan mencetuskan isu tertentu.
Misalnya dalam Rajah, watak penting seperti Pengiran Muda Hashim langsung tidak diberikan pendedahan sedangkan sosok itu antara individu terpenting dalam sejarah Sarawak.

Dari kaca mata penulis secara ­peri­badi, Rajah hanyalah sebuah filem lokal yang diadaptasi secara fiksyen mengikut perspektif mat salih.  Sentimen mereka yang betul-betul berjuang tidak diberi keseriusan sedangkan, itu adalah perkara yang patut dititikberat memandangkan naskhah ber­kenaan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kese­nian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak.

‘Skandal’ Rajah Putih

Watak Rajah Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke yang digalas Jonathan Rhys Meyers tidak banyak cela, namun pada masa sama, tidak banyak boleh diperkatakan dari sudut positif.

Pelakon itu menyuntik permainan emosi yang bagus. Cuma buat penulis, hanya orang putih melakonkan karakter sosok orang putih yang menjadi sejarah dalam lipatan negeri bertuah tersebut.

Alangkah bagusnya, jika kisah James Brooke divisualkan tanpa perlu ‘menutup’ kesahihan, sebaliknya memaparkan pejuang sebenar yang ‘memerdekakan’ dan menghapuskan pemberontakan di Sarawak suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, props atau pujian patut diberikan dari segi visual dan sine­matografi. Tiadalah sampai sehebat filem agung Hollywood, namun itu sahaja antara perihal yang boleh dibanggakan.

Bront ‘penyelamat’

Bront Palarae sebagai Pengiran Indera Mahkota menjadi antara titik penting penting dalam Rajah. Bukan sebab pelakon itu ‘orang kita’, namun Bront tahu dan faham benar karakter terbabit.

Pelakon Indonesia, Atiqah Hasiholan sebagai Puteri Fatimah juga tidak mengecewakan. Dari segi dialog, bahasa tubuh dan mainan emosi, dia berjaya menjayakan karakter ‘love interest’ kepada James Broke dengan cemerlang.

Seorang lagi pelakon seberang, Samo Rafael sebagai Pengiran Badaruddin juga berada pada liga tersendiri.

Sedikit tahu tentang sejarah hubungan karakter terbabit dengan James Brooke seperti dilaporkan beberapa media antarabangsa, memang nampak bahawa ada ‘spark’ atau percikan antara dua karakter tersebut.

Buat mereka yang barangkali kurang lazim dengan sejarah dua sosok terbabit, ada desas-desus mengatakan bahawa mereka mempunyai hubungan ‘romantik’, namun tidak terlalu didedahkan kepada dunia.

Untuk itu, terserah kepada pandangan masing-masing tentang kehidupan James Brooke yang barangkali sedikit ‘terpencil’ daripada pengetahuan umum.

Soal statusnya yang tidak pernah berkahwin dan hubungan baik dengan beberapa individu seperti Pengiran Badaruddin yang membantunya ‘mendapatkan’ Sarawak serta rakan baiknya bernama Charles T. C yang berusia 16 tahun. pada 1848.

Secara keseluruhannya, Rajah sebuah filem sejarah bukan juga dokumentari. Ada banyak perihal yang ‘disongsangkan’ daripada realiti sebenar. Jika berminat ke panggung, tengok boleh, namun percaya 100 peratus, itu menjadi pilihan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI