PETALING JAYA – Sempena meraikan kedatangan bulan mulia Ramadan yang bermula pada hari ini, pelakon dan penyanyi Fattah Amin meluncurkan buah tangan istimewa buat peminat.
Istimewanya, bukan hanya satu, tetapi Fattah, 33, tampil dengan lima buah lagu zikir sekali gus untuk dijadikan sebagai santapan rohani pendengar sepanjang melayari kemuliaan bulan Ramadan.
Kesemua lagu zikir tersebut yang diterbitkan oleh Mukmin Pro merupakan sebahagian fokus baharu Fattah dalam menghasilkan lebih banyak kandungan muzik Islamik.
Lima buah trek zikir nyanyian Fattah iaitu Iktiraf, Taubat Nasuha, La Hawla wa la Quwwata illa billah, Rabbi Yassir dan Zikir Fatimah tersedia dalam aplikasi Mukmin Pro dan diedarkan oleh Masyhur serta Universal Music.
“Saya bersemangat untuk berkongsi lagu-lagu zikir ini dengan peminat dan komuniti Muslim secara lebih luas. Ini merupakan penghormatan melagukan zikir secara eksklusif dalam aplikasi Mukmin Pro.
“Harapan saya agar karya-karya kerohanian sebegini membawa ketenangan dan kedamaian kepada pendengar semasa bulan Ramadan yang diberkati ini,” kata Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin.
Aplikasi Mukmin Pro tersebut yang dikenali dengan ciri-ciri Islamik boleh dipercayai menawarkan kesemua trek eksklusif tersebut kepada pengguna sepanjang bulan Ramadan ini.
Selain aplikasi tersebut, alunan zikir istimewa daripada Fattah juga boleh dihayati menerusi platform penstriman lain antaranya Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula minggu pertama Ramadan.
Sebelum ini, suami kepada aktres terkenal Nur Fazura itu sudah beberapa tahun mendekati lagu berkonsep ketuhanan dan Islamik dalam genre nyanyiannya.
Kali pertama pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mencuba genre Islamik sekitar 2020 dengan meluncurkan single Kiriman Agung yang didedikasikan khas untuk menunggu kelahiran anak sulungnya ketika itu, Nur Fatimah.
Untuk info, Fattah mendirikan rumah tangga bersama Fazura pada 27 November 2017 dan menimang cahaya mata pertama, Nur Fatima Aisya sekitar Oktober 2020. – KOSMO! ONLINE