fbpx

Potensi produk daging kultur di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

MINGGU lalu, sebuah syarikat tempatan mengumumkan penubuhan sebuah fasiliti penghasilan daging kultur pertama negara bertempat di Pulau Pinang, melibatkan pelaburan tempatan berjumlah RM20 juta menjelang suku tahun keempat 2024.

Syarikat itu dijangka melancarkan produk da­ging kultur pertamanya pada Mei 2025.

Menurutnya, daging kultur dihasilkan daripada bioteknologi yang melibatkan pembiakan sel tisu haiwan dalam persekitaran makmal terkawal, berbeza daripada kaedah penternakan haiwan melibatkan pemeliharaan dan penyembelihan haiwan.

Ia mendakwa, hasilnya adalah replika daging sebenar yang berpotensi menawarkan rasa, ­tekstur dan nilai pemakanan yang sama seperti daging yang diperoleh melalui kaedah penternakan konvensional.

Jelas, terdapat potensi tinggi bagi penghasilan daging kultur di negara ini dengan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup melihatnya sebagai salah satu penyelesaian baharu untuk sumber daging mampan yang berpotensi merevolusikan industri makanan di Malaysia.

“Laporan oleh Research and Markets menganggarkan, pasaran daging kultur yang kini bernilai RM791.87 juta pada 2022 akan meningkat kepada RM1.443 bilion pada 2027, dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kumulatif (CAGR) 12.76 peratus.

“Pembangunan teknologi daging kultur di Malaysia bakal mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sambil menangani cabaran-cabaran negara seperti keselamatan makanan, pengurusan kesihatan dan perubahan iklim,” katanya.

Pada masa sama, sekiranya dilihat dari sudut berbeza, terdapat beberapa isu tentang penjualan daging kultur di negara ini.

Pakar Sains Makanan dan Pemakanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Aminah Abdullah berkata, isu daging kultur amat kompleks, sama seperti penghasilannya dan memerlukan kajian mendalam pihak berwajib.

“Persoalan pertama ialah sama ada ia untuk dimakan oleh manusia atau haiwan. Sekiranya untuk manusia, ia membuka kepada persoalan halal dan haram.

“Perkara pertama yang perlu dilihat adalah sumber daging berkenaan, sama ada ia diambil daripada tumbuhan atau haiwan dan sekiranya haiwan, adakah yang masih hidup atau telah mati. Jika telah mati, adakah ia disembelih mengikut syarak?

“Kedua ialah medium yang digunakan, adakah diambil daripada sumber dan bahan halal dan akhir sekali proses penjagaannya,” katanya.

Aminah mengakui seme­mang­nya ada manfaat dalam penghasilan daging kultur, ter­utamanya dari segi kos.

Hal ini kerana, dengan tek­nologi yang ada hari ini dan menuju ke hadapan, menghasilkan daging di makmal berpotensi menjadi lebih murah dan mudah berbanding membela ternakan di lapangan yang terdedah kepada cuaca, penyakit serta pelbagai faktor luaran lain.

Tambahnya, dengan teknologi penghasilan daging kultur se­makin maju terutamanya di ne­gara-negara barat, pihak berwajib termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bertindak segera kerana proses penilaian daging kultur ini, dari segi halal haramnya mungkin mengambil masa.

“Jabatan Agama Islam perlu memainkan peranan sekiranya daging kultur ini dicadangkan untuk dijual di pasaran Muslim.

“Paling penting, kita tidak mahu umat Islam terkeliru tentang status daging kultur jika di ditawarkan di pasaran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI