KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan menghujahkan, laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung wang RM2 juta, tiada kaitan dengan perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya tidak berhasrat mengemukakan atau menggunakan dokumen itu pada perbicaraan kes terowong dasar laut yang sedang dihadapi oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau berhujah, dokumen-dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Hujahnya, laporan forensik itu juga tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan telah dikategorikan sebagai dokumen rahsia.
Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, permohonan pihak pembelaan merupakan tindakan untuk memancing maklumat walhal mereka gagal membuktikan dokumen itu relevan atau sangat diperlukan pada perbicaraan.
Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.
Pihak pembelaan bagaimanapun menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ yang dirujuk dalam perbualan itu, bukan untuk Guan Eng, 62, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.
Wan Shaharuddin selanjutnya menghujahkan, laporan itu tidak relevan kerana Gnanaraja masih belum memberi keterangan manakala Zarul Ahmad masih belum selesai disoal balas.
“Eksibit yang dimasukkan setakat ini hanya bertujuan menghitamkan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan termasuk Zarul Ahmad dan Gnanaraja melalui pintu belakang.
“Permohonan mendapatkan laporan forensik tersebut hanya berlandaskan kepada spekulasi dan andaian semata-mata bertujuan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan yang dihadapinya,” hujah beliau.
Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menyatakan pihaknya tidak pernah menyembunyikan laporan forensik tersebut atau khuatir kes pendakwaan akan musnah sebaliknya berpendirian laporan itu tidak relevan dengan prosiding perbicaraan.
Hujah beliau, pihak pembelaan perlu hadir ke mahkamah dengan `tangan bersih’ bukan bersandarkan kepada permohonan yang tidak relevan sehingga memeningkan pasukan pendakwaan.
“Mereka datang ke mahkamah dan menjerit-jerit kira-kira sejam sehingga kawan saya (pihak pendakwaan pening kepala. Jika permohonan ini dibenarkan, akan ada lagi permohonan lain yang dikemukakan,” hujah Wan Shaharuddin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pembelaan yang disifatkan seolah-olah melakukan serangan peribadi terhadap pasukan pendakwaan.
Beliau menyatakan, mereka hanya menjalankan tugas dan kes itu mendapat liputan meluas pihak media menyebabkan pasukan itu perlu menjawab kepada pihak atasan jika terdapat laporan yang menyentuh serangan peribadi.
“Ini akan menarik perhatian media. Kami (pihak pendakwaan) berada di sini hanya untuk menjalankan tugas, kami tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dan menerima gaji yang sama setiap bulan,” katanya.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo berhujah agar permohonan itu dibenarkan bagi membuktikan Guan Eng tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Hujah beliau, pihak pendakwaan sengaja menyembunyikan keterangan kes di Shah Alam dan tindakan itu memalukan walhal pembelaan perlu diberi peluang memeriksa dan menyiasat dokumen tersebut.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 5 April ini untuk memutuskan permohonan tersebut. – KOSMO! ONLINE