fbpx

EPL: Jim Ratcliffe enggan dijerat bidaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RATCLIFFE sebelum ini dilihat melawat kawasan perkarangan Old Trafford ketika beliau dianggap sebagai pemilik baharu yang berpotensi. – AGENSI

LONDON – Pemilik baharu berpotensi Manchester United, Sir Jim Ratcliffe mendedahkan bahawa beliau tidak akan membayar jumlah yang terlampau tinggi semata-mata untuk menguasai kelab berkenaan.

Ketua Eksekutif INEOS itu dan bilionair dari Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani menjadi dua individu yang sedang ber­saing sengit untuk menjadi pemilik baharu United selepas pemilik semasa, Keluarga Glazer sedia melepaskan pegangan mereka.

“Bagaimana anda menentukan harga sebuah lukisan dan sebuah rumah? Ia bukan mengenai harga untuk membina rumah tersebut atau kos untuk menghasilkan lukisan itu.

“Apa yang anda tidak mahukan adalah membayar dengan harga yang bodoh, kemudian anda menyesali keputusan itu,” kata Ratcliffe dalam temu bual bersama Wall Street Journal.

Peringkat kedua bidaan dijang­ka bermula dalam tempoh terdekat apabila pemilik yang berpotensi diminta untuk membuat tawaran kedua dan berdasarkan laporan terdapat lima hingga lapan pihak akan ber­saing.

Bidaan kedua yang lebih formal kali ini dijangka akan lebih tinggi daripada harga pembukaan, namun ia dipercayai tidak akan melebihi harga sebanyak £4.5 bilion (RM24.66 bilion) iaitu kurang daripada £6 bilion (RM32.88 bilion) daripada yang diminta Keluarga Glazer.

Laporan menyebut, keluarga hartawan dari Amerika Syarikat itu bersedia untuk menjual kelab berkenaan, namun hanya pada harga yang dianggap sesuai.

Jika itu tidak berlaku, mereka bersedia menambah jumlah pelaburan untuk mengurangkan hutang dan menjadikan nilai pasaran kelab itu lebih tinggi.

Ratcliffe dipercayai mahu menjadi pemegang saham terbesar kelab itu menerusi 69 peratus saham, manakala Sheikh Jassim mahu mendapatkan pemilikan penuh dan menguasai keseluruhan kelab.

Bilionair Qatar itu dilaporkan berkeras untuk tidak membayar pada harga yang terlampau tinggi berbanding kesanggupan mereka pada harga £4.5 bilion, namun selepas rundingan dan pertemuan selama 10 jam berlangsung sebelum ini, mereka mungkin bersedia untuk mengemukakan bidaan pada harga lebih tinggi.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI