SEREMBAN – Hari pertama Ramadan menguji sebuah keluarga apabila mereka tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Paroi Jaya di sini petang tadi.
Penghuninya, Norhashimah Hashim, 62, berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah yang disewa sejak 10 tahun itu sebelum terhidu bau seperti api.
“Ketika kejadian, saya sudah selesai memasak rendang dan menonton televisyen di ruang tamu. Selepas itu saya terbau api dan dalam sekelip mata berlaku letupan dari bahagian belakang dapur dan api terus menyambar langsir rumah.
“Saya segera keluar sebelum ada orang awam yang berada di sekitar membantu mengeluarkan dua buah kereta kepunyaan anak saya. Bagaimanapun sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda tidak sempat dibawa keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dia menambah, ketika kejadian suaminya pergi ke masjid untuk menunaikan solat Asar.
“Memang sedih kerana tidak dapat selamatkan barang-barang yang lain keluar dengan sehelai sepinggang sahaja.
“Saya memang mengambil cuti hari ini sempena hari pertama Ramadan bagi memasak juadah berbuka puasa untuk keluarga,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE.