fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan tidak abai misi SAR kapal MV Dai Cat 06

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal Kargo MV Dai CAT 06 yang dilaporkan hilang sewaktu dalam pelayaran pada Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengabaikan misi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan sebuah kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, SAR di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) sentiasa berhubung dalam memastikan SAR itu diteruskan.

“Tidak timbul isu mengenai kos operasi SAR, ini nyawa manusia. Kita bukan melihat kepada kos tersebut.

“Secara fakta ialah dari kawasan di mana bot itu hilang iaitu berada di perairan Indonesia. Jadi SAR itu di bawah Indonesia dan sudah tentu Wisma Putra ada berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung kesungguhan kerajaan mencari kapal tersebut yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, beliau telah mengarahkan JLM bagi memantau secara serius dalam memastikan SAR itu diteruskan.

“Memang saya telah arah JLM pantau secara serius dan pastikan visi mencari kapal ini diteruskan bersama pihak berkuasa Indonesia. Saya harap mesej ini disampaikan oleh Yang Berhormat Tuaran kepada keluarga,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, kapal kargo MV Dai Cat 06 yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian berkenaan dibuat ejen kapal tersebut pada hari sama.

Menerusi laporan Kosmo! pada 16 Januari lalu, ahli keluarga kepada kru kapal tersebut berharap syarikat serta pihak terlibat tampil memberi penjelasan berhubung insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI