fbpx

Dewan Rakyat: Bantuan Kewangan Haji dijangka meningkat hampir RM500 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan Bantuan Kewangan Haji akan meningkat hampir RM500 juta pada tahun 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, berikutan itu ia akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberi agihan keuntungan yang berpatutan kepada pendepositnya.

Menurutnya, jumlah Bantuan Kewangan Haji akan meningkat daripada RM185 juta pada lalu kepada RM400 juta pada tahun ini.

“Bagi musim haji 1444 Hijrah, kos haji adalah RM30,850 untuk setiap jemaah Muassasah Malaysia iaitu peningkatan lapan peratus berbanding RM28,632 tahun lepas (1443 Hijrah).

“Mulai 2001, TH membiayai sebahagian daripada kos haji untuk jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan bantuan kewangan ini dikenali sebagai Bantuan Kewangan Haji atau Hajj Financial Support (HAFIS).

“Bantuan ini dibiayai sepenuhnya oleh TH melalui pendapatan pelaburannya. Sejak 2001 sehingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan bagi Bantuan Kewangan Haji,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) berhubung asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Mohd. Na’im berkata, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk meringankan bebanan kewangan mereka.

“Walaupun boleh menerima Bantuan Kewangan Haji, bakal haji kumpulan B40 dan M40 diberi peluang secara sukarela membayar lebih daripada kadar yang ditetapkan, walaupun mungkin tidak dapat membayar sepenuhnya kos haji,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI