fbpx

‘Bukan nak sukakan manusia tapi Allah dan Rasul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI cara berdakwah dan menyebarkan syiar Islam, Asfan Shah bersama beberapa rakan selebriti mengadakan solat Asar berjemaah di lokasi tumpuan di ibu kota, Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR – “Kami dah sedia memang ada orang yang suka dan tak suka.”

Demikian jawapan diberikan penyanyi, Asfan Shah yang menganjurkan solat jemaah di tengah-tengah kesibukan ibu kota, Bukit Bintang baru-baru ini.

Kata Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin, 38, bukan niatnya untuk menunjuk-nunjuk perihal ibadah kepada umum namun dia melihat inisiatif terbabit sebagai satu dakwah menyebarkan syiar Islam.

“Kalau fikir tentang orang suka atau tak, memang sampai bila-bila takkan habis.

“Kita cuma nak sampaikan kebaikan. Itu motif utama dan buat kempen menyambut Ramadan. Sebab itu, kami bawa Ustaz Syed Putra Haizam Al-Shahab sama-sama mengemudi solat dan beri sedikit tazkirah tentang bulan puasa.

“Moga Ramadan tahun ini lebih mantap buat kita semua berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Usai berlangsung aktiviti solat jemaah Asar, Asfan bersama rakan niaganya yang lain turut melancarkan produk terbaharunya iaitu wangian kerjasama dengan Deep Faith dan Medini Bouutique.

Sementara itu, jelas penganjur bersama yang juga pemilik jenama Deep Faith, Amar Sufi Ali, sebelum mengadakan solat jemaat di lokasi sibuk terbabit yang menjadi tumpuan ramai, dia dan rakan-rakan sudah mendapatkan rujukan serta pendapat daripada golongan alim ulama.

“Kami dah telefon beberapa ustaz dan maulana serta guru-guru. Nabi Muhammad dulu pun ada orang tak suka baginda.

“Berbuat baik ini memang ada orang suka dan sebaliknya. Niat buat semata-mata kerana Allah. Bukan nak sukakan manusia tetapi nak sukakan Allah SWT dan Rasulullah,” katanya.

Asfan menambah, dalam Islam tidak kira pakaian apa pun yang dipakai atau disarung seseorang, apa yang penting adalah iman di dada.

“Apa pun yang kita pakai. Siapa pun kita, selagi tutup aurat dan dalam wuduk, kita boleh masuk masjid atau tunaikan solat di mana-mana. Tiada masalah.

“Orang awam jangan terlalu menghakimi. Kadang-kadang, kita tengok seseorang wanita itu tak pakai tudung, tapi solat tak pernah tinggal di masjid.

“Daripada sibuk mengata orang, lebih baik kita berdoa agar sesiapa pun diberikan hidayah. Semoga Allah bagi kita semua hidayah dan petunjuk untuk mendepani kehidupan yang penuh dengan godaan syaitan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, beberapa selebriti popular tanah air seperti Aliff Aziz, Saharul Ridzwan dan Yusuf Bahrin menyertai solat jemaah Asar di sekitar laluan pejalan kaki dalam keramaian orang awam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI