RICHMOND, Virginia – Dua banduan memecahkan dinding sebuah penjara dengan hanya menggunakan berus gigi untuk mereka melarikan diri, namun kedua-duanya diberkas semula beberapa jam kemudian ketika menikmati pankek di sebuah restoran, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
John Garza, 37, dan Arley Nemo, 43, dilaporkan hilang dari sel mereka di Penjara Newport News di Virginia, Amerika Syarikat semasa pengiraan rutin dilakukan Isnin lalu, demikian menurut kenyataan Pejabat Syerif Newport News.
Siasatan awal mendapati dua banduan itu mengeksploitasi kelemahan dalam reka bentuk pembinaan penjara tersebut dan menggunakan alat yang diperbuat daripada berus gigi serta sebuah objek logam. Mereka mengakses batang keluli di antara dinding dan menggunakannya untuk melarikan diri, kata kenyataan yang sama.
Selepas melarikan diri, mereka memanjat dinding pembendungan di sekeliling penjara.
Bagaimanapun, dua banduan itu ditemui kira-kira 11.26 kilometer di restoran International House of Pancakes di Hampton di mana polis menahan mereka pada awal pagi Selasa. – Agensi