PETALING JAYA – Tampil menceritakan perkara sebenar yang menyebabkan namanya digugurkan daripada filem The Original Gangster arahan pengarah Syamsul Yusof, aktor Aaron Aziz bersumpah bersaksikan al-Quran bahawa dia tidak berbohong dan telah dianiaya.
Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz berkata, bermacam-macam usaha dilakukannya demi komitmen watak dalam filem terbabit namun dibuang mentah-mentah selepas pelbagai insiatif dilakukannya termasuk menyuntik ubat kurus (steroid).
Tambahnya lagi, dia dianiaya Syamsul sehingga namanya digugurkan pada saat akhir selepas bermacam pengorbanan dilakukan untuk filem tersebut.
“Aku ajak kau jumpa, kau tak nak. Bila kau nak (dirinya berlakon dalam filem), kau datang rumah aku dengan cara baik, bila tak nak kau buang aku macam sampah.
“Aku ajak kau jumpa supaya kau boleh tengok badan aku dah kurus atau tidak. Aku nak kena tunjuk kau semua dan bahkan, sanggup cakap dengan produser terima watak lebih kecil, itupun kau tak nak juga.
“Orang lain yang nak sangat dengar cerita yang betul-betul, inilah yang berlaku. Lilahitaalah. Depan al-Quran aku cakap, this is what happened (inilah yang berlaku).
“Aku tak bohong, aku tak apa. Kau suruh aku cukup (ubat kurus), aku cucuk hari-hari macam orang gila. Sakit, sakit, sakit,” jelas Aaron, 47, dalam satu perkongsian video Instagram, sebentar tadi.
Dedah Aaron dalam video terbabit, tiga kali Syamsul datang ke rumahnya menawarkan watak dalam filem terbaharunya dan pada waktu itu, memang pengarah itu sudah tahu masalah kesihatan dihadapinya.
“2022 kau datang rumah aku tiga kali, kononnya nak berbual pasal KL Gangster. Rupa-rupanya pasal filem lain (iaitu filem sekarang yang sedang dibikin, The Original Gangster).
“Kau tak tahu aku ada sakit leher tapi kau datang rumah aku tiga kali. Kita bincang, bini aku masakkan kau kuetiau. Siap tambah apa semua.
“Jangan nak tipu tak tahu aku ada masalah leher. Kau memang dah tahu. Nak kurus ikut amaun berat yang kau nak memang mustahil tapi aku cuba.
“Nak cakap aku bohong, kau jawab sendiri kat Padang Mahsyar nanti. Allah sebagai saksi nanti,” getusnya.
Berdasarkan video dimuat naik hero filem yang terkenal dalam francais KL Gangster menerusi watak Malek itu, selepas berjaya menurunkan berat badan kepada 90 kilogram (kg) namanya digugurkan tanpa sebab yang kukuh.
“Setiap hari 1,000 kalori aku bakar. Bukti semua ada dalam WhatsApp. Kau suruh aku pergi cucuk! Berapa banyak aku dah cucuk (ubat kurus),” jelas Aaron lagi.
Dalam video sama, Aaron juga mempersoalkan ketelusan Syamsul mengajak dia terlibat dalam filem The Original Gangster apabila orang suruhannya menghantar pita uji bakat dirinya dalam situasi atau keadaan tidak bersedia.
“Kau punya budak ambil (hantar) video audisi aku waktu aku tengah belajar lagi. Aku tak tahu pergerakan apa semua.
“Kalau dia cakap pengarah nak tengok, mesti aku buat betul-betul. Kau jumpa aku semua pun apa tidak.
“Benda berlaku masa training pun, aku tak nak cakap sebab malu pihak terlibat nanti. Tiada masalah ‘speed’ atau kelajuan aku.
“Kau tak percaya aku dah kurus tapi kau tak nak jumpa aku. Jangan cakap belakang kau ada 10 orang sebab belakang aku ada 10,000 orang,” tegasnya.
Semalam, Syamsul mendedahkan keputusan menggugurkan nama Aaron daripada filem The Original Gangster adalah disebabkan masalah kesihatannya.
Menurut Syamsul, Aaron juga digugurkan kerana beberapa sebab lain antaranya usia dan saiz fizikal yang mengundang pelbagai kebimbangan dalam kalangan penerbit dan pelakon lain.
Katanya, keputusan itu adalah hasil perbincangan bersama rakan penerbit lain, pelakon dan kru yang terlibat.
“Minta maaf tetapi saya perlu jelaskan perkara sebenar. Penerbit sudah berbincang dan menasihati saya bahawa Aaron tak boleh, dia dah tua, dia dah gemuk. Saya minta beri Aaron masa,” kata Syamsul. – KOSMO! ONLINE