KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melepasi pusingan pertama Terbuka Switzerland apabila menewaskan Li Shi Feng dari China 18-21, 21-18, 23-21 sebentar tadi.
Pemain di ranking keempat dunia itu mengambil masa satu jam 12 minit pada aksi di St. Jakobshalle, Basel untuk menewaskan Shi Feng yang baru sahaja menjuarai All England minggu lalu.
Walaupun baru pusingan pertama tetapi kejayaan itu secara tidak langsung mengubati kekecewaan Zii Jia selepas terkandas di peringkat separuh akhir All England kepada seorang lagi pemain China, Shi Yuqi.
Esok, Zii Jia yang turun selaku pilihan kedua kejohanan di belakang Viktor Axelsen, akan meneruskan cabarannya di pusingan kedua menentang Nhat Nguyen dari Republik Ireland itu.
Nguyen di ranking ke-34 dunia, mara selepas menewaskan pemain No.28 dunia dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 21-19, 21-17 di pusingan pertama hari ini. – KOSMO! ONLINE