fbpx

Wajib masuk sekolah menengah, KPM banteras isu keciciran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tengah) memakaikan beg kepada murid ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah, di SK Pendidikan Khas Jalan Batu (L), hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menekankan bahawa cadangan mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah adalah bertujuan mementingkan pendidikan serta mengelakkan isu keciciran pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah komitmen kementerian untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Mengulas lanjut mengenai tindakan terhadap ibu bapa yang enggan berbuat demikian, beliau berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan seperti mengemukakan saman meskipun implikasi undang-undang tetap wujud.

“Tidaklah sampai begitu (saman) walaupun implikasi undang-undang tetap ada. Cadangan ini lebih memfokuskan kepada kepentingan pendidikan.

“Kedua, adalah untuk mengatasi keciciran pelajar dan seterusnya memastikan semua pelajar menikmati akses ke sekolah.

“Proses atau advokasi berkenaan pendidikan ini harus selari dengan kesedaran ibu bapa. KPM akan memastikan kita selari dengan ibu bapa sekali gus memberi peringatan kepada mereka,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Petronas di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut, di sini, pagi tadi.

Tambah Fadhlina, pihaknya akan memberi peringatan terhadap ibu bapa di samping memastikan tiada masalah mahupun isu untuk mereka menghantar anak-anak ke sekolah.

“Yang paling penting, anak-anak harus ke sekolah. Itu tumpuan kita hari ini dalam memastikan mereka semua berada dalam sistem kita,” tegasnya.

Katanya, cadangan berkenaan akan dibawa ke Parlimen susulan pihaknya telah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Sedikit masa sahaja lagi kita bentangkan di Parlimen untuk diluluskan. Insya-Allah doakan supaya kita dapat mengatasi isu keciciran ini dengan adanya undang-undang tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI