BANGKOK – Seekor ular sawa gergasi seberat 23 kilogram (kg) ditemui terperangkap di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Thailand baru-baru ini, lapor portal berita Thaiger semalam.
Kisah itu mula dikongsi di kumpulan perbincangan Facebook yang dikenali sebagai ‘All About Thailand Snakes’ pada 17 Mac lalu.
Seorang pengguna bernama Chang Lantanoy berkata, pemilik rumah tersebut pada awalnya tidak dapat mengepam tandas sebelum kemudian menyedari terdapat sesuatu di dalam mangkuk tandas tersebut.
Pasukan penyelamat tempatan kemudian dikejarkan ke rumah tersebut lalu mereka cuba mengeluarkan ular itu menggunakan tangan.
Namun, ketika cuba menangkap ular itu, reptilia tersebut didapati terlalu besar dan tersepit kuat di dalam paip.
Pasukan penyelamat kemudian terpaksa memutuskan sambungan paip dan memotong separuh bahagian paip itu untuk mendapatkan ruang yang mencukupi bagi mengeluarkan reptilia besar itu.
Ular sawa itu akhirnya dapat dikeluarkan tanpa melibatkan sebarang kecederaan. -Agensi