JOHOR BAHRU – Sehari menjelang Ramadan, seramai 2,540 mangsa masih ditempatkan di 20 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi pada pukul 8 pagi, hari ini.
Jumlah itu terus menunjukkan pengurangan berbanding seramai 3,086 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada sejumlah 701 buah keluarga.
“Hanya daerah Batu Pahat kekal terjejas, walaupun trend penurunan telah ditunjukkan ekoran cuaca yang baik sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, jumlah mangsa yang maut akibat bencana banjir yang melanda negeri ini bermula sejak 1 Mac lalu masih kekal seramai lima orang.
Menurut Azmi lagi, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan atau amaran ribut petir dikeluarkan di seluruh negeri ini membabitkan kesemua 10 daerah.
“Dalam pada itu, tiada sungai di negeri ini yang menunjukkan melepasi kategori paras air berbahaya, manakala tiga jalan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan iaitu Jalan Lingkaran Kahang Barat; Jalan GSA Chamek serta Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE